Pendawah Islam Dr Zakir Naik hari ini memfailkan laporan polis terhadap Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy dan tiga lagi individu.

Mereka yang dinamakan dalam laporan itu ialah Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Adun Bagan Dalam Sates Muniandy dan bekas duta besar Dennis J Ignatius.

Pendakwah warga India, yang kini adalah penduduk tetap Malaysia, membuat laporannya di Shah Alam pagi ini.

Menurut laporan, yang dilihat oleh Malaysiakini, Zakir menuduh kelima-lima mereka memfitnahnya berdasarkan kenyataan dan artikel mereka.

“Kenyataan media dan artikel berkenaan telah memesong dan menggelirukan orang ramai berhubung maksud sebenar syarahan saya (di Kelantan minggu lalu) semasa menyebarkan dakwah mengenai keamanan dan keharmonian antara rakyat di negara ini.

“Mereka dengan salah memetik saya di luar konteks dalam jawapan terhadap salah satu soalan yang diajukan selepas ucapan saya mengenai topik ‘Salah fahaman tentang Islam’.

“Jelas sekali, mereka memutar belit dan memanipulasi kenyataan saya untuk agenda politik mereka,” katanya.

Menurut Zakir, dia sebenarnya memuji Malaysia yang mengamalkan cara Islam sebenarnya dalam layanan terhadap minori penganut Hindu dan menegakkan hak-hak kepada mereka.

Beliau berkata ini adalah sesuatu yang gagal dilakukan oleh kerajaan India dalam menangani masyarakat minoriti negara itu.

“Kenyataan memfitnah itu, antara lain, merosakkan dan menjejaskan reputasi, kedudukan dan atau kredibiliti saya dan mengaitkan saya dengan skandal, kebencian dan penghinaanyang tidak terhingga di mata orang ramai.

“Tuduhan dan hasutan yang tidak berasas itu telah mewujudkan ketidakharmonian dalam masyarakat dan mencetuskan perbalahan di kalangan rakyat Malaysia yang aman,” katanya.