Saudara-saudara kita di Palestin sekarang sedang menangis dianiayai Zionis laknatullah dan tangisan ‘berdarah’ itu didengari dunia termasuk beberapa bintang Hollywood yang lantang bersuara tentang isu berkenaan.

Sehingga kini, lebih 70 nyawa rakyat Palestin terkorban termasuk 17 daripadanya adalah kanak-kanak.

Aidilfitri sepatutnya disambut dengan gelak tawa kemenangan namun lain pula ceritanya di kota suci itu disebabkan kerakusan Zionis.

Berikut adalah beberapa bintang Hollywood baik penyanyi mahupun pelakon yang tidak membisu menggunakan pengaruh mereka bersuara tentang Konflik Israel-Palestin yang sudah berlanjutan sejak 1948.

Gigi Hadid

Bella, Gigi Hadid
Bella dan Gigi Hadid berketurunan Palestin dan mereka sememangnya antara model ternama yang mencipta nama di Amerika Syarikat yang sering memperjuangkan nasib negara Palestin. Bella menerusi Instagram memuat naik untaian hantaran status yang sentiasa mengimpikan kedamaian dan kebebasan Palestin. “Ini berkenaan isu kemanusiaan bukan hanya tentang agama. Ini tentang kebebasan di Palestin,” kata Bella.

The Weeknd
Bekas teman lelaki Bella Hadid, The Weeknd memuat naik beberapa hantaran di Instagram yang menunjukkan sokongannya terhadap rakyat Palestin. Terkenal dengan sikapnya yang selalu memberontak, dalam satu hantaran Insta Story, pelantun lagu Save Your Tears itu menyiar semula (repost) konten asal seorang pengguna @shirien.creates berbunyi: “Lindungi Jerusalem. Pada waktu subuh, polis Israel menyerang rakyat Palestin yang sedang beribadat.”

Viola Davis
Pemenang Oscar, Viola Davis membawa orang ramai bercakap tentang Sheikh Jarrah melalui Instagram miliknya sekitar tiga hari lalu. “Ayuh cakap tentang apa yang berlaku di Sheikh Jarrah,” kongsi Viola seraya berkongsi beberapa keping foto berkaitan isu sebuah mahkamah Israel di daerah Baitulmaqdis membuat keputusan bahawa rumah-rumah penduduk Palestin di kawasan penempatan Sheikh Jarrah adalah sah milik beberapa pendatang haram Israel.

Natalie Portman
Paling mengejutkan apabila seorang bintang yang merupakan seorang penganut Yahudi Natalie Portman turut berpaling tadah apabila menyiar semula hantaran status Viola menerusi Insta Story miliknya sekali gus membuktikan dirinya sendiri tidak ‘sebulu’ dengan tindakan negara kelahirannya. Perihal itu membuatkan ramai netizen membandingkan dirinya dengan bintang Wonder Woman, Gal Gadot yang masih berpihak kepada Israel walaupun sudah terang lagi berderang, siapa yang memulakan provokasi berkenaan. Untuk rekod, kedua-dua aktres itu merupakan orang Yahudi.

Dua Lipa, Roger Waters
Penyanyi pop Inggeris, Dua Lipa turut menyalurkan sokongannya terhadap Palestin apabila berkongsi satu poster dengan tanda pagar ‘Save Sheikh Jarrah’. Anggota kumpulan rock, Pink Floyd menerusi Twitter menempelak Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden yang sebelum ini membisu seribu bahasa tentang isu Israel-Palestin. “Hey, @JoeBiden, bila kali terakhir kediaman anda minta dikosongkan atau diletupkan. Kamu ingin itu berlaku kepada anda?”

Mia Khalifa
Bekas pelakon pornografi popular, Mia Khalifa adalah antara yang paling lantang bersuara mengutuk kekejaman Rejim Zionis. Berketurunan Lubnan, ciap Mia: “Saya masih ingat dengan jelas tidur bertemankan siren amaran, serangan udara, gegaran tanah, dinding bawah tanah pecah dan kemusnahan di Beirut. Saya laungkan #FreePalestine sekuat saya laung Doa untuk Lubnan.”

Henry Golding, Rihanna
Bintang kelahiran Malaysia, Henry mencuri tumpuan di Twitter apabila menyelar kenyataan seorang ahli perniagaan terkemuka Amerika Syarikat berturunan Cina yang membuta-tuli melahirkan sokongan terhadap Israel. Balas Henry: “You are an actual twat (Kau memang seorang pengecut). Dalam pada itu, Rihanna menerima kecaman hebat orang ramai walaupun bersuara tentang isu Isreal-Palestin. Hal ini kerana, dia kini memilih jalan ‘neutral’ berbanding sokongan tidak berbelah bahagi yang pernah ditunjukkannya pada 2014 dengan ciapan berbunyi, #FreePalestine di Twitternya. – K! ONLINE

https://www.kosmo.com.my/2021/05/14/yang-lain-membisu-bintang-hollywood-ini-bersama-palestin/?fbclid=IwAR04zBGE5HPorIJ3O6oeq__nN9cyy2D1cHrb_mNP524XYnN0ZQkuaY7uQ9U