Rusia dilapor menamakan vaksin COVID-19 pertama di dunia yang didaftarkan oleh pihaknya sebagai Sputnik V untuk pasaran luar negara.

Nama berkenaan merujuk kepada era Perang Dingin dimana Sputnik adalah nama satelit pertama di dunia yang dibina Rusia ketika perang angkasa lepas dengan Amerika Syarikat.

Rusia dikatakan menganggap pencapaian dalam menghasilkan vaksin COVID-19 pertama di dunia sebagai satu kejayaan besar dan bukti kemajuan ilmu sains negaranya.

Kirill Dmitriev, Ketua Dana Pelaburan Rusia berkata, setakat ini pihaknya sudahpun menerima pesanan lebih daripada 20 buah negara membabitkan 1 bilion dos vaksin.

Beliau berkata demikin sebaik sahaja Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan kelulusan terhadap vaksin tersebut.

Malah, anak perempuan Putin dilaporkan antara individu terawal menerima suntikan vaksin tersebut.

Media antarabangsa juga melaporkan bahawa Rusia merancang untuk membuat pengeluaran secara besar-besaran bermula September ini dan penggunaan ke atas penduduk negara itu akan dilakukan bermula Oktober.

Rusia Namakan Vaksin COVID-19 Pertama Di Dunia Sebagai Sputnik V, Imbau Kembali Era Perang Dingin