Foto-Bernama

POH: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong hari ini mengumumkan bahawa beliau kini kembali menjalankan tugas sebagai exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru.

Katanya keputusan itu dibuat setelah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

“Menteri besar menyokong saya supaya kembali bertugas seperti biasa. Semua penugasan pentadbiran akan kembali seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada 25 Ogos lepas, Yong mengumumkan bersetuju untuk bercuti daripada tugasan rasminya bagi menumpukan perhatian kepada perbicaraan kes rogol yang dihadapinya bermula 11 Nov lepas.

Pada 22 Ogos, Ahmad Faizal menasihati Yong supaya bercuti daripada tugasan rasmi beliau bagi menghormati proses undang-undang.

Sementara itu, speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ngeh Koo Ham berkata, pihaknya tidak campur tangan dalam menentukan sama ada Yong boleh menjawab soalan dalam persidangan DUN atau tidak kerana mengumumkan bercuti sebelum ini.

“Dari segi undang-undang, Yong masih Adun Tronoh, masih exco. Menteri besar yang tentukan siapa untuk jawab mana-mana soalan, menteri besar yang buat keputusan, saya hanya mempengerusikan majlis (persidangan) sahaja,” katanya kepada pemberita di luar persidangan DUN Perak di sini, hari ini. Bernama