NASIONALWaktu operasi jual sahur dilanjut hingga 6 pagi

Waktu operasi jual sahur dilanjut hingga 6 pagi

PUTRAJAYA: Umat Islam yang perlu membeli makanan untuk bersahur sebelum berpuasa sepanjang Ramadan ini dibenarkan mendapatkan di premis makanan sehingga waktu Subuh.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran diberikan itu hanya pada bulan puasa ekoran timbul kesukaran apabila premis ditutup 12 tengah malam.

“Setelah diambil kira pelbagai pandangan, kerajaan bersetuju untuk memberi kebenaran operasi perniagaan makanan dilanjutkan sehingga waktu sahur iaitu sebelum 6 pagi,” katanya dalam sidang akhbar sebagai mengulas permohonan banyak pihak terutama pengusaha restoran mamak yang mahu pertimbangan lanjutan masa ketika Ramadan.

Sebelum ini, had maksimum waktu operasi kedai makan termasuk warung jalanan cuma setakat 12 tengah malam atau berdasarkan permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mengulas lanjut, Ismail Sabri bagaimanapun berkata, untuk operasi di dalam pasar raya atau kompleks beli-belah, ia tertakluk kepada waktu perniagaan yang lazimnya sehingga 10 malam.

Ketika ini, hanya gedung perniagaan Malakat Mall di Cyberjaya, Selangor dilaporkan bersedia membuka operasi premis jualan makanan hingga sahur untuk kemudahan masyarakat Islam.

“Justeru, dengan kelonggaran ini, umat Islam terutama orang bujang, tidak perlu risau untuk cari makanan sahur selepas solat tarawih kerana ada banyak masa diberikan,” kata beliau.

Ini ujarnya, termasuk operasi premis makanan di hotel, restoran dan khidmat penghantaran agar tidak berlaku keadaan kelam kabut berebut membeli sahur selepas berbuka puasa.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kebenaran agensi kerajaan dan syarikat swasta untuk menganjurkan program berbuka puasa dan acara bufet iftar Ramadan di semua hotel.

Bagaimanapun, penganjur perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terutama penjarakan fizikal dan pendaftaran butiran diri.

“Jika dalam dewan di negeri Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kapasiti terhad 50 peratus daripada keluasan tempat dengan ditandakan laluan masuk dan keluar,” tegasnya.

Begitu juga kata Ismail Sabri, susun atur meja dan tempat hidangan bufet di banyak lokasi agar pengunjung tidak bersesak tumpu satu kawasan yang dihidangkan oleh pramusaji.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa majlis berbuka puasa dan moreh dibenarkan dalam kawasan masjid atau surau dengan pematuhan SOP yang digariskan oleh pihak MKN.

Tidak ketinggalan ujar beliau ialah aktiviti imarah ibadah seperti solat tarawih dan tadarus tetapi ia tertakluk kepada syarat dikenakan pihak berkuasa agama di negeri masing-masing. -UTUSAN ONLINE

......