DUNIAVirus dahsyat mungkin jangkiti 155 mangsa baharu

Virus dahsyat mungkin jangkiti 155 mangsa baharu

CONAKRY, Guinea – Pakar kesihatan antarabangsa memberi amaran bahawa pesakit yang meninggal dunia akibat virus Marburg baru-baru ini mungkin telah menyebarkan wabak itu kepada sekurang-kurangnya 155 individu lain, lapor akhbar Daily Star, kelmarin.

Virus yang dilaporkan menyebabkan pesakit mati akibat pendarahan itu belum pernah dijumpai di mana-mana lokasi lain di dunia dan menimbulkan kebimbangan ia mungkin terus tersebar.

Pakar kesihatan telah memberi amaran bahawa virus yang mempunyai ciri serupa seperti Ebola itu memiliki kadar kematian 88 peratus, boleh merebak pantas dan perlu dihentikan segera.

Pihak berkuasa kini berada di Guinea bagi memantau 155 orang yang mungkin berhubungan dengan kes pertama Marburg yang disahkan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pesakit tersebut meninggal dunia di tenggara Guinea yang merupakan lokasi awal wabak Ebola di Afrika Barat pada 2014.

“Setakat ini, tiada kes sekunder yang dikesan, namun pengesanan kontak rapat telah dibuat dan seramai 155 individu kini dalam pemerhatian selama tiga minggu.

“Ini adalah pengawasan aktif. Kontak rapat diletakkan di rumah, diasingkan daripada anggota keluarga lain. Mereka dikunjungi petugas kesihatan setiap hari untuk memeriksa kemungkinan gejala Marburg,”kata Ketua WHO di Guinea, Georges Ki-Zerbo.

Virus tersebut  terdapat dalam keluarga patogen yang sama dengan Ebola tetapi hingga kini, tiada rawatan atau vaksin yang diketahui mampu mengatasi wabak itu.

Virus Marburg kali pertama dikenal pasti pada 1967 di Marburg dan Frankfurt di Jerman serta di Belgrade,Serbia.

Wabak awal dikaitkan dengan makmal menggunakan monyet hijau yang diimport dari Uganda.

Ia dapat disebarkan kepada manusia melalui kelawar buah dan penyebaran antara manusia melalui cairan tubuh.

Gejala biasanya merangkumi sakit kepala, sakit dada, demam, sakit perut dan keletihan.

Ramai orang yang dijangkiti akan mengalami pendarahan dalaman berterusan dalam tempoh seminggu sebelum disahkan maut.

WHO telah menyenaraikan Marburg sebagai penyakit utama dalam kelompok 10 teratas, bermaksud ia menimbulkan risiko kesihatan awam besar. – Agensi

......