LONDON: Satu lagi varian baharu koronavirus dikenal pasti selepas ditemukan di Eropah.

Varian baharu itu didakwa berasal dari Nepal dan kemunculannya mungkin ‘meranapkan’ impian penduduk United Kingdom (UK) untuk bercuti ke luar negara selepas menjalani perintah berkurung selama beberapa bulan sebelum ini.

Penduduk Britain pada mulanya dibenarkan mengunjungi beberapa negara yang tersenarai sebagai zon hijau pada pertengahan Mei lalu, namun terpaksa ditangguhkan susulan kemunculan beberapa varian baharu Covid-19.

Antara negara zon hijau yang diluluskan Britain termasuk Australia, New Zealand, Brunei, Singapura, Gibraltar dan Israel.

Para saintis turut memberi amaran bahawa varian tersebut mungkin ‘kebal’ vaksin dan sukar dirawat jika dijangkiti.

Namun, ahli jawatankuasa Kumpulan Penasihat Saintifik untuk Kecemasan (SAGE) Britain memaklumkan barisan pemimpin tidak perlu ‘terlalu risau’ kerana virus Covid-19 sentiasa bermutasi, sekali gus bakal mewujudkan ribuan varian lain.

Prof. John Bell berkata, barisan menteri sepatutnya mengutamakan sektor hospital, penyakit serius dan kematian yang diakibatkan oleh jangkitan Covid-19 berbanding kemunculan varian baharu.

Selain itu, kerajaan Britain juga akan mengemas kini senarai negara zon hijau yang boleh dikunjungi penduduk UK tanpa perlu menjalani kuarantin selepas pulang bercuti.

Terdapat beberapa negara yang berisiko termasuk Portugal selepas varian Nepal dikesan muncul di negara itu.

Perkembangan baharu itu sekali lagi memberi tamparan hebat terhadap industri pelancongan yang sebelum ini sudah pun lumpuh akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, kebanyakan hospital di Nepal hampir lumpuh operasi selepas kes jangkitan Covid-19 naik mendadak dalam tempoh sebulan.

Sehingga pertengahan bulan lalu, kes jangkitan direkodkan melebihi 9,000 kes sehari susulan kemunculan varian India, B.1.167 .