NASIONALVaksin beri harapan, peluang kembali kepada keadaan normal, kata pakar perubatan

Vaksin beri harapan, peluang kembali kepada keadaan normal, kata pakar perubatan

PETALING JAYA: Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah saat yang dinanti-nantikan dan dijangka memberi impak besar kepada usaha membendung penularan wabak itu, kata beberapa pakar perubatan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Jabatan Mikrobiologi Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Malina Osman berkata, jika dipertimbangkan risiko jangkitan dan kematian berbanding risiko kesan sampingan vaksin, manfaat vaksinasi jauh lebih besar.

“Kita telah melalui satu tempoh lebih setahun berdepan dengan wabak ini, dan dalam tempoh berkenaan, kita turut berdepan kesukaran akibat komplikasi berikutan penutupan pelbagai sektor ekonomi dan sosial untuk mengekang wabak berkenaan.

Dr Malina Osman.

“Manfaat yang diperoleh daripada vaksinasi jauh lebih besar berbanding kita membiarkan usaha pencegahan Covid-19 bergantung semata-mata kepada pematuhan SOP (prosedur operasi standard),” katanya kepada FMT.

Sementara itu, mantan timbalan ketua pengarah (perubatan) Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Rohaizat Yon berkata, program imunisasi mampu merencatkan penularan Covid-19, dan mengurangkan kadar kematian serta morbiditi sekali gus memberi sinar baharu dalam usaha membangunkan semula sektor ekonomi dan sosial.

“Vaksin memang memberi satu harapan, selepas program ini dilaksanakan, dalam jangka masa yang berfasa, banyak fungsi sektor ekonomi dan sosial dapat dipertingkatkan,” katanya.

Dr Rohaizat Yon.

Bagaimanapun, beliau menegaskan masih terdapat keperluan untuk rakyat terus mengamalkan norma baharu dan patuh kepada SOP, memandangkan vaksinasi dilaksanakan secara berperingkat, dengan mengutamakan golongan berisiko.

Turut bersetuju, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Dr Zainal Ariffin Omar yang berkata, program imunisasi masih belum dapat menghapuskan Covid-19 secara keseluruhannya.

“Namun, ia mampu melemahkan virus itu daripada terus berjangkit, secara tidak langsung memberi peluang untuk kita kembali kepada keadaan hampir normal,” katanya.

Mengenai kesan jangka panjang bagi penerima vaksin, beliau tidak menafikan kewujudan kesan sampingan dan menekankan kepentingan merekodkan data individu yang menerima suntikan.

“Risiko kesan sampingan yang serius pun ada walaupun terlalu kecil, yang penting kerajaan perlu ada pangkalan data penerima dan sistem pemantauan kesan sampingan yang bagus dan telus seperti sistem VAERS di Amerika Syarikat,” katanya.

Dr Zainal Ariffin Omar.

Pada 4 Feb, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hujung bulan ini, dengan sasaran 80% daripada populasi, atau 26.5 juta individu, menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma dalam tiga fasa.

Fasa pertama dari Februari hingga April adalah untuk 500,000 petugas barisan hadapan yang terbabit secara langsung dalam memerangi wabak itu.

Fasa kedua dari April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes serta tekanan darah tinggi selain golongan orang kurang upaya (OKU).

Fasa ketiga pula bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/17/vaksin-beri-harapan-peluang-kembali-kepada-keadaan-normal-kata-pakar-perubatan/

......