Foto - Twitter Anwar Ibrahim

Tidak habis-habis lagi ceritera peralihan kuasa, tidak habis-habis cerita jawatan paling diidamkan sejak 20 tahun dahulu.

Agak pelik itu sahaja yang diperkatakan sejak akhir-akhir ini, katalah peralihan kuasa itu tidak terjadi, apa akan jadi dengan Anwar dan parti PKR?

Sama-sama kita nantikan peralihan kuasa itu nanti.

‘Usah sibuk soal tarikh peralihan kuasa’

“BELIAU faham masalah sedang dihadapi dan bersetuju supaya semua pihak tidak sibuk sangat soal tarikh peralihan kuasa,” tegas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa isu peralihan kuasa perlu dilakukan secara aman dalam tempoh munasabah serta dipersetujui bersama.

Dr Mahathir berkata, Anwar memahami permasalahan sedang dihadapi Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan ketika ini yang memerlukan tumpuan untuk diselesaikan.

“Beliau faham jangan ada ketegangan sangat pada masa ini yang ditimbulkan pihak tertentu termasuk soal tarikh peralihan kuasa,” kata beliau.

Beliau bercakap kepada media selepas Majlis Prapelancaran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur di Putrajaya, hari ini.

Sidang kemuncak itu dijadualkan pada 18 hingga 21 Disember ini.

Terdahulu Anwar selepas mengadakan pertemuan selama 30 minit dengan Dr Mahathir hari ini berkata, pendirian mereka berdua berhubung isu peralihan kuasa tidak pernah berubah seperti dipersetujui PH.

Beliau turut mengingatkan janji berkenaan berulang kali disebut Perdana Menteri.

“Saya memaklumkan isu peralihan kuasa ini perlu dilakukan secara aman dan teratur dalam tempoh munasabah serta mendapat persefahaman bersama,” katanya.

Beliau berkata, mereka bersetuju untuk menumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi dan penyediaan ke arah penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

“Perdana Menteri turut mengambil perhatian mengenai dakwaan terhadap kalangan anggota Jemaah Menteri yang menyalahgunakan kuasa atau meraih dokongan politik menerusi pemberian projek,” katanya.

MyMetro