Foto - Astro Awani

KUALA LUMPUR – Seorang rakan kepada bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mendedahkan bahawa Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menerima seadanya keputusan untuk meletakan jawatan.

Menurut Pengerusi IKRAMTeens Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Mohd Fadhli Othman, Maszlee memberitahu dirinya tidak bersedih dengan langkah itu.

Malah katanya, beliau akan terus berbakti kepada masyarakat.

“Sedih ana Dr. dengan berita begini.”

Ayat pertama yang aku luahkan pada Dr. Maszlee Malik. Tiada kalimah dan perkataan yang sesuai selain menzahirkan emosi sedih dan sayu.

“Apa nak sedih, saya ok je. Move on dan berbakti kepada masyarakat. Lepas ini kita lebih kuat menyantuni warga Simpang Renggam,” tulis Mohd Fadhli mengenai respon Maszlee di Facebook beliau.

Mohd Fadhli membuat kenyataan itu selepas satu pertemuan dengan Maszlee di kediamannya, malam tadi.

Beliau berkata amat sedih dengan keputusan Maszlee yang meletakkan jawatan semalam.

Mohd Fadhli turut berkata Maszlee tidak langsung mengeluh dengan tindakan itu yang disifatkan sebagai satu keajaiban.

“Ajaibnya, tiada sedikit keluhan dan luahan yang negatif dihamparkan beliau. Yang ada gelak tawa dan senyumannya pasti tidak pernah putus.

“Awalnya diberi gelaran ‘Menteri Kasut’. Menteri Kasut inilah yang mempertahankan guru dan meringankan bebanan guru.

“Menteri Kasut” inilah yang menukar polisi supaya golongan B40 mudah masuk ke asrama penuh, matrikulasi dan universiti. Anak orang susah mampu berjaya seperti orang lain,” katanya lagi.

Maszlee dalam satu sidang media khas di Putrajaya semalam mengumumkan peletakan jawatannya.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. –MalaysiaGazette