PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa terkejut dengan undi majoriti yang diperolehi Barisan Nasional pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai, Sabtu lalu.

“Saya terima keputusan yang dibuat oleh rakyat Tanjung Piai, walaupun sebelum ini sudah menjangkakan majoriti akan beralih arah ke pihak lawan.

“Jangkaan saya majoriti kekalahan ini tidak lebih dari 2,000 undi. Namun keputusan rasmi majoriti kekalahan ialah sebanyak 15,086 undi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga perdana menteri berkata pihaknya akan mengadakan satu “post-mortem” terperinci, serius dan jujur di semua peringkat parti bagi mengenal pasti punca sebenar kekalahan PH.

Sabtu lalu, Barisan Nasional berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada PH dengan majoriti besar 15,086 undi.

Calonnya, Wee Jeck Seng mendapat 25,466 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.

Calon Gerakan, Wendy Subramaniam sekadar meraih 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz yang mewakili Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) mendapat 850 undi dan dua calon bebas, Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing memperoleh 380 undi dan 32 undi. FMT