NASIONALJenayahTular aksi bahaya lelaki ‘makan angin’ atas kereta bergerak

Tular aksi bahaya lelaki ‘makan angin’ atas kereta bergerak

SEGAMAT: Seorang lelaki dipercayai kurang siuman melakukan aksi berbahaya di bahagian atas sebuah kereta yang sedang bergerak di sekitar Jalan Batu Anam menghala ke Gemas, Negeri Sembilan, dekat sini.

Klip rakaman video berdurasi satu minit 47 saat memaparkan aksi lelaki berkenaan yang mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain tular dalam laman sosial sejak semalam.

Dalam video terbabit, lelaki itu bukan sahaja duduk ‘santai’ di atas bonet belakang kereta yang sedang bergerak, namun melakukan aksi seperti tidur telentang di atas bumbung serta bonet kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Bahrin Md. Noh berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian itu dan siasatan awal mendapati ia berlaku kira-kira pukul 6 petang, 9 April lalu di laluan tersebut.

“Pemandu kereta dalam video berkenaan yang sedang memandu perlahan ketika itu tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki dipercayai kurang siuman menaiki atas bonet keretanya.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit enggan turun dari kereta menyebabkan pemandu tidak memberhentikan kenderaan, sebaliknya meneruskan pemanduan atas faktor bimbang keselamatan diri dan keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bahrin berkata, lelaki berkenaan kemudian turun di sekitar Bandar Gemas tidak lama kemudian selepas berada di atas kereta terbabit sejauh beberapa kilometer.

Kes berkenaan masih dalam siasatan dan saksi kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9312222. – UTUSAN

......