NASIONALJenayahTu dia aih!! Gara-gara nak kejar untung 13 kali ganda, suri rumah...

Tu dia aih!! Gara-gara nak kejar untung 13 kali ganda, suri rumah rugi RM71,100

KANGAR: Gara-gara terpengaruh dengan keuntungan pelaburan sebanyak 13 kali ganda di media sosial, seorang suri rumah menanggung kerugian sehingga RM71,000 selepas terpedaya dengan pelaburan wang tidak wujud melalui aplikasi Telegram antara 24 hingga 30 Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Wan Aeidil Wan Abdullah berkata, wanita berusia 54 tahun itu pada mulanya tertarik dengan pelan pelaburan yang ditawarkan dengan keuntungan lumayan di aplikasi Facebook pada 20 Mei.

Katanya, iklan pelaburan di Facebook dengan nama ’Sifuku Millennium’ itu menyebabkan wanita berkenaan menekan pautan yang membawa kepada laman Telegram ‘FinancialAdvisor1122’.

“Selepas mendapat penerangan mengenai pelaburan tersebut, mangsa membuat pindahan wang permulaan sebanyak RM8,600 ke akaun yang diberikan suspek pada 24 Mei lalu. Selepas itu, suspek memaklumkan mangsa memperoleh untung besar dan menawarkan melabur lebih banyak lagi.

“Mangsa yang mempercayai kata-kata tersebut telah memindahkan tambahan pelaburan sehingga menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM71,100 dalam tempoh seminggu dari 24 hingga 30 Mei,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Wan Aeidil, mangsa menyedari ditipu apabila suspek memberi pelbagai alasan ketika wanita tersebut menuntut pulangan modal.

Katanya, ekoran itu, mangsa membuat laporan polis di Kangar semalam.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan polis akan mengumpul maklumat pemilik akaun bank yang digunakan suspek untuk transaksi pelaburan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sejak awal tahun sehingga semalam, sebanyak 22 kertas siasatan dibuka melibatkan kes pelaburan tidak wujud melalui media sosial melibatkan kerugian sebanyak RM211,394.16.

“Daripada jumlah itu, 12 kes melalui Telegram dengan kerugian sebanyak RM69,797.16, dua kes melalui Facebook (RM25,736), satu kes Instagram (RM21,406) dan tujuh kes melalui lain-lain medium (RM94,453.40). Sebanyak 40 kertas siasatan dibuka melibatkan kerugian sebanyak RM604,392.45 bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu,” jelasnya.

Seterusnya Wan Aeidil menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah percaya pada iklan-iklan promosi pelaburan di media-media sosial itu.

“Buat semakan terhadap skim pelaburan dan syarikat yang menawarkan pelaburan berkenaan di laman sesawang Bank Negara Malaysia dan juga di senarai peringatan pelabur Suruhanjaya Sekuriti di laman sesawang suruhanjaya tersebut,” katanya. – UTUSAN

Gara-gara nak kejar untung 13 kali ganda, suri rumah rugi RM71,100

......