POLITIKTIBER!! Keputusan PBM mahu sertai BN belum dimuktamad, kata Larry Sng

TIBER!! Keputusan PBM mahu sertai BN belum dimuktamad, kata Larry Sng

Parti Bangsa Malaysia (PBM) belum memuktamadkan keputusannya memohon menyertai Barisan Nasional (BN) sungguhpun akar umbi mahukan parti itu berbuat demikian, kata Presidennya Larry Sng.

“Minat untuk sertai BN adalah (daripada) usul perwakilan PBM dan belum dimuktamadkan lagi oleh kepimpinan PBM.

“(Tambahan lagi) untuk sertai BN, persetujuan gabungan itu (BN diperlukan) juga,” kata Ahli Parlimen Julau itu kepada FMT.

Semalam, Sng dilaporkan berkata, 12 bahagian PBM telah menyokong usul supaya parti itu menjadi komponen BN dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Beliau dilaporkan berkata, usul itu dipersetujui oleh pemimpin tertinggi PBM dan perbincangan lanjut akan diadakan dengan kepimpinan BN tidak lama lagi.

Sng berkata demikian selepas dilantik sebagai Presiden PBM pada Mesyuarat Khas Persidangan Agung (EGM) PBM.

Selain Larry, 30 ahli jawatankuasa kepemimpinan baharu parti itu turut dilantik semalam termasuk bekas Exco kerajaan Selangor Haniza Mohamed Talha dan bekas ADUN Meluan Wong Judat sebagai timbalan presiden.

Sebelum ini, PBM dikenali sebagai Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang diasaskan oleh bapa Larry, Sng Chee Hua, bersama sekumpulan ahli politik pada 2012.

PBM kini ada dua wakil di Dewan Rakyat iaitu Sng dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon.

Laporan media sebelum ini turut memetik Sng sebagai berkata, PBM adalah parti yang menyokong kerajaan Keluarga Malaysia dan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Keputusan PBM mahu sertai BN belum dimuktamad, kata Larry Sng

......