POLITIKTiada satu sen sumber Yayasan Akalbudi daripada kerajaan, pembayar cukai – Ahmad...

Tiada satu sen sumber Yayasan Akalbudi daripada kerajaan, pembayar cukai – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan pembelaannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini menegaskan bahawa tiada satu sen pun sumber dana Yayasan Akalbudi yang berjumlah puluhan juta ringgit daripada wang kerajaan atau pembayar cukai.

Menurut Ahmad Zahid, 69, sebaliknya sumber berkenaan adalah daripada lebihan pendapatan ketika beliau membabitkan diri dalam sektor korporat sebelum menjawat jawatan sebagai anggota pentadbiran.

Ini kerana Ahmad Zahid berkata dia pernah mengetuai empat syarikat yang disenaraikan di Bursa dan Pengerusi Bank Simpanan Nasional sebelum menjadi menjadi timbalan menteri, menteri dan timbalan perdana menteri adalah melebihi perbelanjaan keperluan keluarganya.

“Maka saya berazam atas nasihat bapa saya yang juga seorang mudir (pengetua sekolah agama) untuk menyalurkan lebihan pendapatan saya itu kepada orang yang memerlukan melalui amal jariah, sedekah, infak, wakaf bagi tujuan keagamaan dalam yayasan yang saya wujudkan sejak tahun 70-an lagi,” kata Ahmad Zahid.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid dalam kenyataan pembelaannya turut menyanggah kenyataan saksi pendakwaan ke-90 Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly yang mengatakan dia telah menggunakan cek Yayasan Akalbudi untuk pembayaran bil kad kredit.

“Saya menegaskan bahawa saya sama sekali tidak pernah bersetuju dan/atau memberi kepada Mazlina untuk menggunakan cop tandatangan saya bagi tujuan selain daripada untuk menandatangani kad-kad jemputan dan/atau hari raya dan/atau perayaan dan/atau sijil-sijil penghargaan.

Saya dengan ini ingin menegaskan sekali lagi bahawa segala pernyataan Mazlina bahawa beliau telah mendapatkan kebenaran daripada saya untuk menggunakan cop tandatangan dan/atau cek pra-tandatangan untuk kesemua cek-cek yang diisukan bagi tujuan pembayaran bil kad kredit saya adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Perbicaraan bela diri di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah masih lagi berlangsung. – KOSMO! ONLINE

Tiada satu sen sumber Yayasan Akalbudi daripada kerajaan, pembayar cukai – Ahmad Zahid

......