KUALA LUMPUR- Kadar diskaun sebanyak 18 peratus ke atas kenderaan persendirian di semua lebuh raya milik PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) bermula 1 Februari ini.

Ia melibatkan Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP).

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan di sini hari berkata, keputusan kerajaan mengekalkan pegangan Khazanah Nasional Bhd. dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam PLUS membolehkan tiada kenaikan kadar tol sehingga tempoh konsesi selama 38 tahun tamat (2020-2058).

Pelanjutan tempoh konsesi selama 20 tahun bermula 2038 pula adalah untuk memastikan PLUS mampu melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan operasi lebuh raya tanpa bergantung kepada kerajaan.

Kerajaan tidak lagi akan menanggung beban pembayaran pampasan kepada PLUS sekali gus dapat berjimat kira-kira RM42 billion sepanjang tempoh konsesi tersebut.

PLUS juga kekal sebagai pengendali dan akan terus memegang aset dan liabiliti syarikat serta mengurus pembiayaan kos operasi dan penyelenggaraan.

“Kerajaan yakin keputusan ini akan memberi manfaat yang banyak kepada rakyat melalui pengurangan beban kadar tol, dan dalam masa yang sama membolehkan PLUS untuk terus beroperasi dengan kedudukan kewangan yang baik.

“Penjimatan RM42 billion kini boleh digunakan oleh Kerajaan untuk inisiatif-inisiatif yang menguntungkan rakyat.

“Pelaksanaan pengurangan kadar tersebut adalah tertakluk kepada kelulusan daripada pemegang saham PLUS,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, apabila kadar terbaharu itu dilaksanakan, ianya lebih rendah berbanding kadar tol pada 1999 (11.24 sen/km).

Ini bermakna kadar tol Jalan Duta ke Alor Setar akan ditetapkan kepada RM45.50 berbanding RM55.50, manakala kadar tol Jalan Duta ke Skudai menurun kepada RM38.50 daripada RM47.00 ketika ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan tidak akan menjual PLUS kepada pihak lain dan mengekalkan pegangan Khazanah dan KWSP dalam syarikat pengendali lebuh raya itu.- MalaysiaGazette