Foto-AP

BANGKOK: Thailand mengesan kes pertama Covid-19 membabitkan varian India di tapak pembinaan utara Bangkok.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata, 15 pekerja di sebuah tapak pembinaan di daerah Lak Si, Bangkok disahkan positif varian India (B.1.617.2).

Pekerja terbabit kini dirawat di hospital, kata beliau.

“Pihak berkuasa berkaitan sedang mengesan sumber jangkitan,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini hari ini.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Taweesin berkata, Thailand mencatat 3,481 kes baharu, termasuk 951 banduan, manakala 32 lagi kematian dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan 123,066 kes dan 735 korban setakat ini.

Menurutnya, daripada 3,481 kes baharu, 3,469 adalah jangkitan tempatan, dan 12 lagi kes import.

“Terkini, terdapat 35 kluster di Bangkok,” katanya.

Sementara itu, Thailand akan melanjutkan darurat untuk tempoh dua bulan lagi bagi membendung penularan Covid-19 ketika negara sedang bergelut dengan gelombang ketiga.

Taweesin berkata, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha yang mempengerusikan mesyuarat CCSA hari ini bersetuju melanjutkan darurat di seluruh negara hingga 31 Julai.

Ia bertujuan membolehkan pihak berkuasa kesihatan mengekang penularan wabak dengan lebih berkesan.

Darurat di Thailand telah dilaksanakan sejak Mac tahun lalu.