NASIONALTerkini!! Wanita didakwa hina Islam dijangka dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah esok

Terkini!! Wanita didakwa hina Islam dijangka dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah esok

Sejurus selepas membayar ikat jamin hari ini, wanita yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Siti Nuramira Abdullah, 26, akan berdepan pertuduhan baharu menghina Islam di Mahkamah Tinggi Syariah esok.

Peguam, Ramesh Chandran memaklumkan perkara itu selepas Siti Nuramira membayar ikat jamin RM20,000 untuk pertuduhan terdahulu di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, Siti Nuramira akan didakwa di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan).

Seksyen itu membabitkan kesalahan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina, yang boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Lapan penguat kuasa Jawi dilihat berada di kompleks mahkamah di sini untuk menahan Siti Nuramira.

Rabu lalu, wanita itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menimbulkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat Islam semasa persembahannya di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun lalu.

Hakim membenarkan Siti Nuramira diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan turut memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulas mengenai kes itu.

Dia dan teman lelakinya, Alexander Navin Vijayachandran, berjaya mengumpul kira-kira RM40,000, hasil sumbangan orang ramai, untuk membayar jaminan itu.

Navin, 38, yang didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Rabu lalu, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di media sosial.

Bagi pertuduhan pertama, Navin didakwa berkongsi hantaran di akaun Instagramnya pada 5 Jun lalu dengan niat untuk menghina orang lain, manakala tuduhan kedua ialah berkongsi kandungan melalui akaun YouTubenya pada 16 Jun lalu dengan niat untuk menghina orang lain.

Hakim membenarkan Navin diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, yang turut dibayarnya.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/07/19/wanita-didakwa-hina-islam-dijangka-dituduh-di-mahkamah-tinggi-syariah-esok/

......