POLITIKTerkini! PAS sasar menang 40 kerusi Parlimen, kekal tadbir 3 negeri pada...

Terkini! PAS sasar menang 40 kerusi Parlimen, kekal tadbir 3 negeri pada PRU15

PAS menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagi memperkukuhkan kedudukannya di Putrajaya.

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ia juga mahu meneruskan pentadbiran di Kelantan, Terengganu dan Kedah, di samping menambah beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang serta negeri lain.

“Kita kena kerja bersungguh-sungguh supaya daripada 18 kerusi Parlimen, ia meningkat seberapa banyak yang boleh dan seminimumnya pada pandangan dan perhitungan kita, kita mesti menang tidak kurang 40 kerusi Parlimen,” katanya ketika berucap dalam himpunan jentera PAS Pusat sempena Muktamar PAS ke-68 malam tadi.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata, tidak mustahil PAS merealisasikan tiga objektif itu, jika usaha dilakukan ahli parti mulai sekarang.

“Dulu, kita tak pernah terfikir boleh jadi kerajaan di Kedah, tapi Allah kurniakan kemenangan di Kedah zaman arwah Azizan Abdul Razak. Di Johor, Tuhan takdirkan calon Umno silap isi borang, kita menang percuma di DUN Senggarang.

“Tidak ada orang terfikir Umno akan tumbang di Malaysia pada PRU14, dengan kuasa Allah, akhirnya (mereka) hilang kuasa di Malaysia. Saya sebut sebab perjuangan Islam ini kita tak perlu risau, tidak ada perkara yang mustahil.”

Beliau juga percaya pemimpin PAS boleh menjadi perdana menteri suatu hari nanti.

““Jika kita mengambil alih kerajaan persekutuan, apa yang akan berlaku? Seorang perdana menteri PAS pasti akan mengatasi prestasi di tiga negeri itu,” katanya merujuk pentadbiran parti itu di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Pada PRU14, PAS memenangi 18 kerusi Parlimen, iaitu sembilan di Kelantan, Terengganu (6) dan Kedah (3).

PAS sasar menang 40 kerusi Parlimen, kekal tadbir 3 negeri pada PRU15

......