NASIONALTerkini! Mahathir kata LCS : Bukan masa saya jadi PM

Terkini! Mahathir kata LCS : Bukan masa saya jadi PM

PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, penangguhan projek kapal tempur pesisir (LCS) tidak berlaku pada zaman pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, peruntukan terus dibuat kepada syarikat Boustead Naval Dockyard Sdn. Bhd. (BNS) yang mengambil alih projek berkenaan sehingga RM6.083 bilion itu juga bukan dalam pengetahuannya.

“Adakah projek ini dimulakan semasa saya jadi Perdana Menteri? Saya bukan Perdana Menteri masa projek ini dibuat.

“Saya masih ingat  ketika (syarikat Penang Naval Shipyard-Naval Dockyard Sdn Bhd (milikan Amin Shah) mengambil tindakan lari dari sini dan Boustead ambil dia punya syarikat, Bousted dapat projek. Pada masa itu saya bukan Perdana Menteri lagi, macam mana nak kata saya tahu itu dan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini  hari ini.

Semalam, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempersoal tindakan kerajaan  Barisan Nasional (BN) yang didakwa membiarkan peruntukan terus dibuat kepada syarikat BNS sehingga RM6.083 bilion walaupun tiada pemberhentian projek berkenaan.

Ia me­nunjukkan kelemahan kerajaan BN dari segi pengurusan dan pemantauan sekali gus menyebabkan wang yang disalurkan kepada BNS habis begitu sahaja tanpa menyiapkan walaupun satu daripada enam kapal tempur pesisir LCS seperti dijanjikan.

Pada 24 Ogos 2017, LCS pertama milik TLDM dilancarkan dan diberi nama Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela berlangsung di dermaga BNS Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Upacara penamaan dan pelancaran kapal bernilai RM1.5 bilion itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sambil disaksikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Kelmarin, pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, pemberhentian projek LCS bukan disebabkan arahan pemberhentian kerja oleh kerajaan BN, Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

Katanya, projek itu terhenti dengan sendiri apabila BNS tidak mampu membayar vendor, pembekal dan kontraktor yang terlibat walaupun kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek tersebut.

Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif BNS baharu, Azhar Jumaat mengakui terdapat salah urus kewangan serius oleh pihak pengurusan lama sehingga menyebabkan situasi yang berlaku pada hari ini.

Menurutnya, dapatan PAC mendapati, wujud perbelanjaan yang digunakan bukan untuk pembinaan kapal berjumlah RM1.4 billion meliputi pembayaran hutang lapuk projek Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV) berjumlah RM400 juta, membina fasiliti atau bangunan di Cyberjaya bernilai RM305 juta dan overrun cost atau kos di luar jangka berjumlah RM700 juta. – UTUSAN

LCS : Bukan masa saya jadi PM  – Dr. Mahathir

......