NASIONALTERKINI! Kes Covid-19 tinggi namun penggunaan alat bantuan pernafasan tunjuk trend penurunan

TERKINI! Kes Covid-19 tinggi namun penggunaan alat bantuan pernafasan tunjuk trend penurunan

Walaupun kes jangkitan Covid-19 meningkat namun pada masa sama penggunaan alat bantuan pernafasan untuk kes positif itu menunjukkan trend penurunan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, situasi itu menunjukkan keberkesanan pengambilan vaksin Covid-19.

Menurut beliau, sehingga jam 11.59 malam semalam, pengambilan vaksin telah mencapai 80 peratus dari populasi keseluruhan dengan sekurang-kurangnya satu dos.

Ini, sekali gus mengurangkan risiko gejala Covid-19 yang teruk.

“KKM berharap orang ramai segera mendaftar dan mendapatkan vaksin Covid-19 untuk dos 1, 2 dan dos penggalak sebagai ikhtiar perlindungan daripada komplikasi jangkitan virus itu,” katanya dalam kenyataan kepada media, petang ini.

Mengenai penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU), beliau berkata dalam Minggu Epidemiologi (ME) 5/2022, kadar penggunaan katil bukan ICU menunjukkan peningkatan, manakala kadar penggunaan katil ICU dan alat bantuan penafasan menunjukkan penurunan berbanding minggu sebelumnya.

Beliau turut memaklumkan status terkini kes Covid-19 di Malaysia sehingga jam 12 tengah hari ini dengan kes sembuh 5,421 kes (2,824,071 kes kumulatif) diikuti kes baharu 13,944 kes (2,939,198 kes kumulatif), kes import 153 kes (58 warganegara, 95 bukan warganegara).

Bagi kes tempatan pula sebanyak 13,791 kes (13,476 warganegara, 315 bukan warganegara), manakala kes memerlukan rawatan di ICU 138 kes iaitu 81 kes disahkan Covid-19, 57 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 71 kes iaitu 34 kes disahkan Covid-19, 37 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya.

Jumlah kluster pula kata Dr. Noor Hisham, sebanyak 6,526 kluster direkodkan dengan 17 kluster baharu, 6,151 kluster yang telah tamat dan 375 kluster aktif. – MalaysiaGazette

......