DUNIATerkini! Bumi makin laju berputar, catat hari paling singkat pada 29 Jun

Terkini! Bumi makin laju berputar, catat hari paling singkat pada 29 Jun

WASHINGTON – Bumi mencatatkan rekod terbaharu hari paling singkat pada 29 Jun lalu apabila melengkapkan putaran penuh dalam masa 1.59 milisaat kurang daripada putaran standard 24 jam, lapor laman berita NDTV semalam.

Menurut akhbar Independent, planet itu baru-baru ini mencatatkan peningkatan dalam kelajuan putarannya. Pada 2020, Bumi merekodkan bulan paling singkat sejak tahun 1960-an.

Pada 19 Julai tahun itu, tempoh masa terpendek yang direkodkan pula adalah 1.47 milisaat lebih pendek berbanding hari biasa selama 24 jam.

Seterusnya pada tahun lepas, Bumi terus berputar pada kadar meningkat, namun tiada sebarang rekod baharu dicatatkan. Bagaimanapun, menurut laman web Interesting Engineering, fasa 50 tahun bagi hari-hari tersingkat mungkin telah bermula sekarang.

Meskipun punca sebenar bagi kelajuan putaran Bumi yang berbeza masih tidak diketahui, saintis-saintis membuat spekulasi bahawa ia mungkin disebabkan oleh proses yang berlaku dalam lapisan dalam dan luar teras, lautan, air pasang atau perubahan iklim.

Sebilangan penyelidik turut percaya bahawa ia mungkin berkaitan dengan pergerakan kutub geografi Bumi merentasi permukaannya yang digelar sebagai ‘Chandler Wobble’.

Dalam kata mudah, fenomena itu adalah sama seperti keadaan paku yang dilihat apabila gasing yang berputar mula mendapat momentum atau perlahan, demikian menurut beberapa saintis.

Menurut Independent, jika Bumi terus berputar pada kadar meningkat, ia boleh membawa kepada pengenalan saat lompat negatif. Ia merupakan usaha untuk memastikan kadar Bumi mengorbit Matahari adalah sama dengan ukuran jam atom.

Bagaimanapun, saat lompat negatif boleh mencetuskan impak  yang berpotensi mengelirukan telefon pintar, komputer dan sistem komunikasi.

Contohnya, jam akan berubah dari masa 23:59:59 menjadi 23:59:60, sebelum menginjak kepada pukul 00:00:00. Lompatan masa seperti ini boleh memusnahkan program dan data disebabkan cap masa pada penstoran data. – Agensi

......