POLITIKTerkini! Bersatu ramai pemimpin ‘bukan ori’, sukar cari pengganti Muhyiddin, kata penganalisis

Terkini! Bersatu ramai pemimpin ‘bukan ori’, sukar cari pengganti Muhyiddin, kata penganalisis

Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) bakal berdepan situasi “sukar” sekiranya Muhyiddin Yassin tidak lagi memimpin parti dan gabungan itu, kata penganalisis.

Ini kerana, kata Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, Bersatu dipenuhi pemimpin “bukan ori”, walaupun mereka dianggap berpengalaman luas dalam arena politik negara.

“Kalau ditolak orang luar ini, maka tak ramai pemimpin asal Bersatu, kecuali (Timbalan Presiden Bersatu) Ahmad Faizal Azumu. Itu yang jadi masalah Bersatu sekarang, orang luar tetap dipandang orang luar.

“Jika Muhyiddin bersara, nak cari pengganti itu amat sukar sekali kerana tak ramai pemimpin yang asalnya Bersatu.

“Tambahan, kredibiliti Faizal juga sering dipertikai orang luar dan ia agak menyukarkan Bersatu. Faizal adalah menteri belia dan sukan di bawah kerajaan Ismail Sabri Yaakob,” katanya kepada FMT.

Azmi merujuk beberapa pemimpin Bersatu yang tidak “ori” antaranya Hamzah Zainudin (dari Umno), Mustapa Mohamed (dari Umno) dan Azmin Ali (dari PKR) yang melompat ke Bersatu selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

“Mereka masih terpalit dengan stigma ‘orang luar’ oleh orang dalam parti,” katanya mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa PRU15 mungkin menjadi penggal terakhirnya untuk bertanding sebelum bersara daripada politik.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu dan pengerusi PN bagaimanapun berkata, “Kalau keadaan mendesak dan memerlukan, insya Allah kita akan fikirkan perkara itu.”

Dalam pada itu, Azmi berpendapat, Bersatu perlu disuntik semangat baharu dan lari daripada bayang-bayang Muhyiddin selepas parti itu kecundang dalam beberapa siri pilihan raya negeri (PRN).

“Bersatu kelihatan hambar di bawah kepimpinan Muhyiddin (ketika PRN). Jadi, Bersatu memerlukan nafas baharu, bukan saja melalui PN yang akan guna simbol baharu, tetapi kepimpinannya perlu diberi nafas baharu, perlu beri keyakinan kepada penyokongnya,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berpandangan, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dilihat individu paling layak, sekiranya kerusi nombor satu parti itu dikosongkan.

Beliau berkata, ketika parti politik lain mula menonjolkan pemimpin lebih muda, Bersatu tidak boleh ketinggalan dalam usaha menarik kumpulan pengundi muda susulan pelaksanaan Undi18.

“Yang layak bagi saya dalam hal ini ialah Wan Saiful, di mana ideanya menampakkan kematangan dalam memahami realiti politik Malaysia.

“Dalam era kepimpinan parti politik mula beralih kepada generasi yang lahir pada 1970-an seperti Rafizi Ramli (PKR), Loke Siew Fook (DAP), Khairy Jamaluddin (Umno), Bersatu tidak boleh ketinggalan mengemukakan pemimpin lingkungan umur 40-an berikutan Undi18 lebih terhubung dengan mereka.”

Bersatu ramai pemimpin ‘bukan ori’, sukar cari pengganti Muhyiddin, kata penganalisis

......