POLITIKTERKINI!! Bersatu minta pembangkang tak tanding DUN Penawar, Tanjung Surat

TERKINI!! Bersatu minta pembangkang tak tanding DUN Penawar, Tanjung Surat

Bersatu Pengerang meminta parti-parti pembangkang memberikan laluan buat Perikatan Nasional (PN) untuk berlawan dengan Barisan Nasional (BN) di dua DUN di bawah parlimen Pengerang, iaitu DUN Penawar dan Tanjung Surat pada pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang.

Kata Ketua Bersatu Bahagian Pengerang, Mohd Faizal Asmar, pada pilihan raya umum (PRU) lalu, kedua-dua kerusi itu ditandingi oleh parti pembangkang daripada PH, namun “kalah teruk” dengan BN.

“Kami sedar akan perkara itu dan mengambil iktibar akan kekalahan itu. Ini menunjukkan parti-parti seperti ini masih belum diterima oleh masyarakat Melayu di luar bandar.

“Oleh yang demikian kami berharap agar parti-parti ini mengambil sikap memberi laluan kepada PN untuk berlawan dengan BN.

“Dengan kekuatan pasukan kami yang telah disiapkan sejak Ogos 2020 serta penerimaan oleh pengundi Melayu kami amat yakin dapat memberi saingan sengit dengan BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pendirian itu, kata Mohd Faizal, adalah sebagai sokongan kepada kenyataan pengerusi PN merangkap presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bahawa PN bercadang bertanding di semua 56 kerusi DUN Johor.

Untuk rekod, dalam PRU14, DUN Penawar disandang calon Umno Sharifah Azizah Syed Zain, menewaskan calon Amanah dengan majoriti 7,134 undi, manakala DUN Tanjung Surat disandang calon Umno Syed Sis A Rahman menewaskan calon PKR dengan majoriti 4,522 undi.

Dakwa Mohd Faizal, menurut tinjauan, peneroka-peneroka Felda di Johor berasa “sangat terhutang budi” kepada Muhyiddin kerana bekas perdana menteri itu telah membayar hutang peneroka Felda semasa dia mentadbir kerajaan.

“Oleh yang demikian, saya menyeru parti-parti ini berlapang dada memberi laluan untuk PN memberi saingan sengit kepada BN,” katanya lagi.

Umno-BN mengambil haluan sendiri bertanding solo dalam PRN Johor, bermakna ia akan bertembung dengan sekutu dalam kerajaan Keluarga Malaysia, iaitu PN yang dianggotai oleh Bersatu dan PAS sebagai parti utama bersama Gerakan, Star dan SAPP.

Muhyiddin bagaimanapun berikrar bahawa PN tidak akan memberi laluan mudah kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri.

https://www.malaysiakini.com/news/609637

......