POLITIKTeresa balun PAS, mengata orang, awak yang lebih

Teresa balun PAS, mengata orang, awak yang lebih

DAP secara sinis mengucapkan tahniah kepada PAS kerana menggunakan Parti Komunis China sebagai contoh untuk mempertahankan tindakannya menutup kedai nombor ekor di Kedah.

“Baru-baru ini Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad menuduh Pakatan Harapan mempromosi ideologi komunis. Sekarang jelas siapa menggunakan ideologi komunis untuk kepentingan diri,” kata Timbalan Setiausaha Agung DAP, Teresa Kok.

“Jadi saya ucapkan tahniah kepada PAS, kerana guna langkah Parti Komunis China sebagai rujukan tetapi fakta mereka mengenai perjudian di China tersasar dan tidak kena pada tempat,” kata Teresa.

Kelmarin, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan China mengharamkan perjudian sejak 1949. “Judi dalam China tak boleh, rakyat China berjudi di luar tak boleh,” beliau memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Sanusi membuat kenyataan itu selepas Kamaruzaman memberitahu pengundi Melaka bahawa Pakatan Harapan yang turut dianggotai DAP mempromosi ideologi komunis.

Teresa berkata, memang benar Parti Komunis China melarang perjudian di Tanah Besar China apabila mengambil alih kuasa pada 1949.

“Tetapi hakikatnya, perjudian masih dibenarkan di wilayah dikuasai China, iaitu Macau. Kerajaan China hari ini turut menguruskan syarikat loteri,” katanya.

Beliau berkata, langkah diambil Parti Komunis China pada 1949 itu diambil atas ideologi dipelopori oleh Mao Zedong.

“Pemimpin PAS patut baca dan faham semua dasar dipelopori oleh Mao Zedong dan Parti Komunis China, bukan saja pasal perjudian tetapi semuanya, sebelum menggunakan apa-apa contoh untuk dibandingkan dengan Malaysia, sebuah negara demokrasi berparlimen dengan masyarakat majmuk,” katanya.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Meng, berkata dasar kerajaan PAS di Kedah mencabul hak dan kebebasan masyarakat bukan Islam dan melanggar semangat Keluarga Malaysia yang meraikan kepelbagaian masyarakat, budaya dan agama.

“Kerajaan PAS patut menyekat umat Islam berjudi dan bukan menyekat hak dan kebebasan masyarakat bukan Muslim. Islam melarang paksaan dan oleh itu undang-undang syariah tidak boleh dipaksa terhadap masyarakat bukan Muslim,” katanya.

Beliau berkata, penutupan kedai nombor ekor bukan sahaja memberi impak kepada sumber kewangan negara tetapi menambah gejala perjudian haram yang sukar dikesan oleh pihak berkuasa.

“Lebih teruk adalah perjudian haram atau ekonomi bawah tanah bakal semakin menjadi-jadi. Oleh demikian, jelas PAS kini bukan saja gagal mendidik umat Islam menjauhi perjudian, mereka juga gagal menguruskan ekonomi rakyat,” katanya.

Ideologi komunis: Mengata orang, awak yang lebih, Teresa jawab PAS

......