SANDAKAN : 100 penyokong Dap Sabah dari Parlimen Sandakan telah menyerahkan borang keahlian kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada awal tahun baharu 2020 dalam satu majlis di Kota Kinabalu.

Borang-borang berkenaan telah diserahkan oleh Mantan Pengarah Strategik Dap PRU 14 Parlimen Sandakan, Sulaiman Putie yang turut disaksikan oleh Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling.

Ketika berucap dalam majlis sama, Sulaiman yang juga merupakan Mantan Ketua Cawangan Dap di Sandakan meluahkan bahawa beliau dan rakan-rakannya menyertai PAS atas kesedaran mereka.

Katanya yang juga Mantan Calon Bebas PRK Sandakan, mereka menyedari tindak-tanduk Dap yang merugikan orang Melayu dan Islam justeru memilih PAS kerana parti ini tegas dengan prinsip Islam serta membela semua kaum.

Ujarnya lagi, beliau bersyukur kerana dipertemukan dengan PAS yang bersih dari unsur salah guna kuasa dan tidak bersifat perkauman berbeza dengan Dap.

Jelasnya, tindakannya sebelum ini yang membawa orang Melayu untuk menyokong Dap sehingga mencapai kemenangan pada PRU lalu adalah suatu kesilapan besar yang dilakukannya.

Justeru beliau menyeru orang Melayu dan Bumiputera Sabah untuk menolak parti perkauman ini sebaliknya memilih PAS yang relevan untuk semua kaum dan agama pada masa akan datang.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Setiausaha Agung PAS Pusat, Dato’ Takiyuddin Hassan, AJK PAS Pusat, Mohamad Husain dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid.

100 penyokong Dap Sabah sertai PAS