Utama NASIONAL Tak timbul soal undi PH di Kimanis merosot – Azmin

Tak timbul soal undi PH di Kimanis merosot – Azmin

208
0
Foto - Malay Mail

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali berkata tidak timbul soal kemerosotan undi dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis, semalam.

Sebalikya, timbalan Presiden PKR itu berkata Pakatan Harapan memerlukan lebih banyak masa untuk meyakinkan rakyat Sabah mengenai program dan dasar kerajaan hari ini.

“Kita melihat sokongan di Kimanis tidak banyak berubah daripada apa yang berlaku pada pilihan raya yang lalu di mana calon yang sama mewakili Warisan mendapat undi yang hampir sama.

“Jadi, tidak timbul kemerosotan undi. Namun, oleh kerana ini adalah kawasan di luar bandar, kita perlukan masa untuk meyakinkan mereka bahawa usaha-usaha yang dijalankan ini adalah untuk merapatkan lagi jurang di antara bandar dan luar bandar dan usaha ini akan diteruskan oleh kerajaan pimpinan Warisan dengan kerjasama yang baik bersama kerajaan persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan limau sempena sambutan Tahun Baru Cina yang akan disambut hujung minggu ini di Pasar Pekan Ampang, Selangor.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejayaan BN menambah majoriti undi pada PRK Kimanis, semalam.

Hadir sama pada program tersebut adalah menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar, Anifah Aman bagi kerusi itu pada pilihan raya umum (PRU) 14, lepas.

Keputusan pengundian semalam menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis selepas calonnya Mohamad Alamin, 48, menang dengan majoriti 2,029 undi, menewaskan pencabarnya Karim Bujang, 67, daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sementara itu, mengulas kenapa beliau tidak hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR semalam, Azmin berkata beliau berada di Sabah.

“Saya berada di Kimanis,” katanya ringkas.

Manakala disoal apakah beliau akan hadir pada mesyuarat seterusnya, Azmin hanya menjawab “Insya-Allah.”

Malaysiakini

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini