POLITIKTak perlu tagih nyawa daripada seteru politik tegur Tok Mat

Tak perlu tagih nyawa daripada seteru politik tegur Tok Mat

UMNO tidak akan menagih nyawa lagi daripada musuh-musuh politiknya jauh sekali mendokong seteru semata-mata untuk menguruskan sebuah kerajaan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO tidak boleh lagi menagih kasihan dan belas daripada pihak lain sebaliknya perlu menguruskan kerajaan dengan keupayaan sendiri.

“Berhentilah ya.. tak payahlah menagih segala nyawa dan dukungan dari parti seteru kita, demi hendak menguruskan kerajaan. UMNO tidak boleh bergantung harap kepada kasihan dan belas orang lain.

“Kita mesti berdiri sendiri. Kita mesti yakin dengan pelan kita untuk Malaysia.

“UMNO mesti menampilkan kepimpinan kerajaan yang mendapat mandat padu, berwibawa dan mampu memacu pembangunan Malaysia dengan lebih berganda,” katanya berucap merasmikan Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) malam ini.

Mohamad juga mengingatkan ahli Parlimen UMNO agar tidak menentukan haluan sendiri hingga bercanggah dengan pendirian kepimpinan parti Melayu itu.

“Ahli Parlimen kita pula janganlah menentukan jalan sendiri. Janganlah bercanggah nyata dengan pendirian kepimpinan parti.

“UMNO tidak akan membenarkan sesiapa juga melupakan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat yang mewakili UMNO bukan mewakili kelompok dan pemimpin tertentu.

“UMNO tidak boleh membiarkan pendirian dan ketetapannya menjadi terpencil disebabkan sikap segelintir ahli Parlimen. Ini adalah satu kelemahan yang mesti dibanteras oleh UMNO,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tak perlu tagih nyawa daripada seteru politik – Tok Mat

......