SHAH ALAM – Surau Al-Jannah, Seksyen 23 Shah Alam diarah tutup serta-merta ekoran terdapat ahli jemaah dikesan mempunyai kontak rapat dengan individu positif COVID-19.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu kenyataan berkata, arahan tersebut juga dibuat berikutan jemaah yang dikesan turut mempunyai kaitan dengan Kes Sivagangga.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3581463165218855&id=380864275278776

“Arahan ini termasuklah semua operasi surau (seperti) solat fardhu Jumaat, solat fardhu lima (5) waktu berjemaah dan aktiviti pengimarahan yang lain.

“Hanya tiga (3) orang petugas jawatankuasa sahaja dibenarkan untuk memimpin solat fardhu di surau berkenaan,” kata kenyataan tersebut, hari ini.

Dalam pada itu, operasi sekolah Kelas Aliran Fardhu Ain (KAFA) Intergrasi Al-Jannah juga turut diarahkan ditutup berkuatkuasa serta-merta.

“Jawatankuasa surau hendaklah memastikan individu berkenaan menjalankan saringan COVID-19 dan melaporkan keputusan saringan kepada jabatan ini (JAIS).

“Proses sanitasi (nyahkuman) hendaklah dilakukan serta-merta di seluruh kawasan surau dan sekolah KAFA,” tambah kenyataan itu lagi.