Foto - Malaysia Dateline

Jika Ketua Whip PRK. Datuk Johari Abdul menjadikan keletihan sebagai alasan kenapa kekurangan kehadiran Ahli Parlimen Pakatan Harapan di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin pula menjadikan kesejukan dewan menjadi penyebab tidak ramai wakil rakyat mampu duduk berjam-jam semasa persidangan berlangsung.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, sukar bagi Ahli Parlimen untuk berada dalam Dewan Rakyat secara berterusan kerana suhunya yang cukup rendah.

Katanya, adalah mustahil bagi wakil rakyat untuk terus menahan kesejukan itu dalam tempoh masa yang lama dan suasana sama juga sering berlaku di mana-mana Parlimen di negara lain.

“Bukan mudah untuk kami duduk dalam jangka masa yang lama. Ada ketikanya ia sangat sejuk. Di mana-mana sahaja di (Parlimen) negara lain, anda tidak boleh jangka Ahli Parlimen terus duduk dalam dewan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat semalam apabila proses meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pembekalan (Belanjawan) 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat terganggu akibat tidak cukup korum.

Namun, kelulusan berjaya diperolehi selepas Speaker Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof membunyikan loceng memanggil Ahli Parlimen masuk ke dalam dewan, sebelum keputusan menyaksikan 32 bersetuju berbanding 28 lagi yang tidak bersetuju.

Selepas pembangkang meminta agar undi berbelah bahagi dilakukan, Mohamad Ariff mengumumkan keputusan 45-28.

Mengulas lanjut, Mohamed Hanipa berkata, ia bukan masalah yang besar kerana kebiasaannya ahli parlimen akan berada di luar dewan, dan sekiranya tidak cukup, Speaker akan menggunakan loceng.

Dalam masa sama, Johari menegaskan, kekangan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang terikat dengan beberapa program turut menyumbang ketidakhadiran ke Dewan Rakyat.

“Kalau kamu lihat dalam sesi bajet ini kita balik lewat, selalunya 10.30 malam dan semasa sampai di rumah pukul 12 malam.

“Kemudian mandi dan tidur pukul 1 pagi kemudian lewat bangun pagi untuk sesi pagi kerana kepenatan,” katanya kepada pemberita. Astro Awani