Foto - The Malay Mail

Kes video atas ranjang yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, tidak ditutup sebaliknya akan dibuka jika polis mendapat sebarang bukti baru.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, berkata pihaknya akan membiarkan kes tersebut seperti sekarang sehingga ada bukti baru dikemukakan.

Bercakap pada sidang media di Bukit Aman petang ini, Abdul Hamid berkata beliau memahami kesukaran dihadapi Peguam Negara – yang berkuasa untuk menentukan sesuatu kes akan didakwa atau sebaliknya – untuk meneruskan pendakwaan kerana tahap kejelasan video terbabit yang rendah.

“Dua pihak yang telah digunakan pihak polis (untuk menganalisis video itu), kedua-duanya beri jawapan yang sama.

“Begitu juga dengan andaian yang dibuat pihak tertentu di luar sana, yang mana hasil pengamatan kami, the so-called firma-firma memberikan jawapan yang sama – resolusi kabur, tak dapat buat pengesahan.

“Jadi kes ini tidak ditutup,” katanya.

Pada 9 Jan lalu Peguam Negara Tommy Thomas mengumumkan tiada pertuduhan akan dibuat ke atas mana-mana individu berhubung video intim terbabit.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Thomas berkata, pakar forensik AS “gagal” mengenal pasti individu dalam video berkenaan kerana tahap resolusinya yang rendah.

Pada masa sama Abdul Hamid menegaskan polis tidak terbabit dalam sebarang mainan politik apabila mengendalikan siasatan kes tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, polis mengikuti setiap prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada dan menjadi amalan pasukan itu semasa menyiasat sesuatu kes,

“Jadi, jangan buat kesimpulan tertentu. Biarlah orang nak tuduh saya atau tuduh polis, saya tetap berpegang kepada undang-undang,” katanya. Malaysiakini