NASIONALSetalah ditangkap kali ke-2, status pemastautin sementara Long Tiger jadi sebutan?

Setalah ditangkap kali ke-2, status pemastautin sementara Long Tiger jadi sebutan?

JOHOR BAHRU: Nama Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid mula menjadi sebutan kembali apabila dia bertindak melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, dekat sini pada 15 Disember lalu.

Ketika itu, lelaki berketurunan Rohingya berusia 32 tahun itu diambil dari Penjara Sungai Udang, Melaka bagi berhadapan proses perbicaraan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

Semasa melarikan diri dari tahanan, Long Tiger turut berdepan proses perbicaraan bagi kesalahan di bawah Seksyen 506 kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta kes rogol di bawah Seksyen 376.

Sebelum dia ditangkap pada 28 April 2020 kerana memfitnah seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, Long Tiger menjadi bualan ramai kerana kelantangannya sehingga menimbulkan kontroversi melalui beberapa sesi siaran langsung di Facebook.

Malah, dia juga sentiasa mencabar mereka yang tidak bersetuju dengan pendapatnya serta mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen selain sering menyebut kata-kata kesat sepanjang bersiaran.

Selepas tamat reman bagi siasatan kesalahan fitnah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Long Tiger sekali lagi ditahan polis di IPD Muar pada pukul 5.45 petang, 2 Mei 2020 setelah polis menerima laporan baharu membabitkan kes peras ugut dilakukannya.

Susulan itu, terdapat beberapa lagi laporan polis dibuat orang awam di beberapa negeri termasuk Selangor dan Kuala Lumpur berhubung kesalahan lepas yang didakwa dilakukan lelaki itu.

Pada 8 Mei 2020, lelaki itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas dua pertuduhan pecah amanah wang RM3,500 milik pesara yang sepatutnya digunakan untuk membeli barang keperluan memasak dan ubah suai kedai.

8 Ogos lalu pula, dia turut membuat pengakuan sama di Mahkamah Sesyen Muar atas tuduhan merogol seorang wanita pada 26 September 2019, selain menafikan pertuduhan ugutan bunuh dan mengurung bekas pekerjanya dalam kejadian di Bukit Gambir pada 12 Julai lalu.

Dalam sebutan kes ugutan bunuh itu, Long Tiger yang sudah berkahwin tidak ditawarkan jaminan selepas pihak pendakwaan mengambil kira tertuduh dibimbangi boleh mengganggu saksi utama pendakwaan.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada tahun lalu sudah menjelaskan status kewarganegaraan Long Tiger yang bukan rakyat negara ini, sebaliknya adalah pemastautin sementara dari Myanmar atau Rohingya yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Ayob Khan ketika itu turut menafikan persepsi segelintir masyarakat yang menyatakan pemegang kad UNHCR kebal dari tindakan undang-undang sebaliknya beliau menegaskan sesiapa sahaja yang membuat kesalahan akan berdepan tindakan undang-undang.

Beliau berkata, Long Tiger sebelum itu mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes ugutan jenayah pada 2009 selain kes culik dan rogol pada 2012 yang kesemuanya sudah disabitkan kesalahan.

Terkini, lelaki itu yang turut dikaitkan dengan penglibatan dalam kumpulan gengster direman empat hari bermula semalam bagi siasatan di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan kerana lari dari tahanan polis. -UTUSAN ONLINE

......