Seorang jurujual diugut gambar dan video bogelnya tersebar selepas diperdaya kenalan maya di WeChat.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Angeline menyerahkan 20 keping foto dan lima klip video kepada individu dikenali ‘Ting’ demi menjadi ‘super model’, lapor Sinar Harian.

Wanita berusia 23 tahun bersetuju berbuat demikian kerana termakan tawaran RM500 untuk sekeping foto dan RM1,000 bagi satu klip video.

Namun hasrat untuk menerima RM15,000 musnah kerana ditipu malah diugut supaya memasukkan wang RM800 selain menerima mesej ancaman di Facebook.

Ketua biro pengaduan dan perkhidmatan awam MCA Datuk Seri Michael Chong mengingatkan mangsa bahawa modus operandi itu untuk mendapatkan wang daripada mangsa.

“Walaupun wang sudah diberikan, namun percayalah suspek ini akan terus mengugut hingga ada kes yang berlaku menyebabkan mangsa meminjam ah long atau dijadikan sebagai pelacur,” katanya.

Menerima aduan Angeline di pejabatnya di sini, Michael juga akan membantu mangsa untuk membuat laporan polis berhubung kes tersebut.