KIMANIS: Anwar Ibrahim mahu peralihan kuasa daripada Dr Mahathir Mohamad kepadanya dilakukan secara aman atas “kerelaan perdana menteri sendiri”.

Presiden PKR itu berkata, peralihan kuasa perdana menteri perlu dibincangkan secara “aman” walaupun tekanan daripada sesetengah pemimpin PKR yang mahu proses itu dipercepatkan.

“Peralihan kuasa harus dilakukan dengan baik, Tun Mahathir mempunyai banyak pengalaman dan jasa. Kita (Pakatan Harapan) juga ada muafakat dan janji, jadi sebaiknya ia dibuat dengan cara baik.

“Saya tidak setuju dengan proses itu (peralihan kuasa) jika ia tidak (dilakukan) dengan cara aman dan teratur,” katanya selepas berkempen bagi calon Warisan pada Pilihan Raya Kecil Kimanis di kawasan Pimping, Membakut di sini, malam ini.

Media pada Selasa melaporkan Mahathir sedia melepaskan jawatannya pada bila-bila masa atas permintaan Majlis Presiden PH.

Kenyataan itu menyusul selepas beberapa ahli Parlimen PKR mencadangkan Mahathir menyerahkan kuasanya kepada Anwar pada Mei nanti.

Sementara itu, Anwar berkata, tindakan patut diambil terhadap mana-mana pemimpin parti yang melanggar undang-undang.

Ditanya mengenai laporan beberapa individu yang ditahan dalam satu serbuan di Puchong, Selangor, katanya, tiada ruang untuk mana-mana parti dan pemimpinnya yang dilihat tidak tegas menangani masalah seperti kesalahan jenayah dan rasuah.

Mengulas dakwaan terdapat individu berkomplot mencalar reputasi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, katanya, beliau mengikut perkembangan isu itu secara dekat.

“Saya tidak tahu butirannya, tetapi mereka tidak sepatutnya memusnahkan hidup peribadinya.”

Terdahulu, SPRM membuat laporan polis terhadap beberapa individu, termasuk peguam yang didakwa mendalangi komplot jenayah untuk merosakkan reputasinya dan imej agensi itu.

FMT