Foto - The Sun Daily

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Ronnie Liu dinasihatkan supaya mengambil ‘kelas tambahan’  berkaitan Perlembagaan sebelum mengeluarkan kenyataan mengkritik Parti Pribumi Bersatu Malayaia (Bersatu).

Itu sindiran Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya mengulas dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu menasihati Bersatu supaya jangan bongkak dalam isu pemilihan pengganti Dr. Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan.

“Saya nak beritahu kepada Ronnie, apakah hak beliau untuk mencampuri isu pengganti Menteri Pendidikan selepas penyandang sebelum ini, Dr. Maszlee melepaskan jawatan pada 2 Januari lalu?

“Saya fikir, semua pemimpin sama ada orang politik mahu pun pentadbir kerajaan memahami Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) ada hak prerogatif dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong berkaitan pelantikan menteri-menteri dalam kalangan ahli-ahli majlis Parlimen.

“Jadi, apa justifikasi Ronnie mahu isu pengganti Dr. Maszlee dibincang serta perlu dapatkan suara-suara lain dalam gabungan PH (Pakatan Harapan) sedangkan perkara tersebut di bawah bidang kuasa dan hak Perdana Menteri. Kalau beliau tidak faham, boleh ambil kelas tambahan…belajar dan fahami Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Pada masa sama, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri itu menegaskan, mana-mana pihak supaya berhenti daripada terus-menerus menimbulkan polemik berkaitan isu pengganti Maszlee.

Sebaliknya beliau menyarankan semua pihak termasuk ahli-ahli politik khususnya daripada pihak kerajaan supaya memberi penekanan terhadap amanah serta tanggungjawab kepada rakyat termasuk memulihkan semula keupayaan negara.

“Saya ada baca laporan berita bahawa Ronnie mendakwa 61 peratus penyokong tidak begitu gembira dengan pentadbiran pada masa ini dan sesuatu perlu dilakukan.

“Jika demikian, Ronnie sepatutnya berhenti mencampuri perkara yang bukan di bawah tanggungjawabnya tetapi menjalankan tugas beliau sebagai wakil rakyat seperti yang sepatutnya,” ujar.- MalaysiaGazette