NASIONALJenayahRebel betul! Orang awam, pengawal keselamatan bergaduh di Hoshas, Temerloh

Rebel betul! Orang awam, pengawal keselamatan bergaduh di Hoshas, Temerloh

TEMERLOH: Tular sebuah video di laman media sosial memaparkan kekecohan melibatkan orang awam dan seorang pengawal keselamatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini hari ini.

Pergaduhan itu dipercayai gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan pengawal keselamatan yang melengahkan waktu pertukaran penjaga di wad di situ.

Video berdurasi 10 saat itu memaparkan kekecohan di hadapan bangunan utama Hoshas susulan pergaduhan antara beberapa lelaki dengan pengawal keselamatan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Mohd. Yusoff berkata, siasatan awal mendapati, kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu bermula selepas seorang pengawal keselamatan hospital berkenaan bertengkar dengan beberapa pelawat hospital yang menjaga pesakit.

“Kejadian berpunca daripada pelawat hospital yang tidak berpuas hati dengan pengawal keselamatan hospital yang melengahkan waktu pertukaran penjaga di Wad Kenanga 14.

“Susulan itu pihak polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan ekoran daripada kejadian tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Azhar berkata, pada masa ini pihak polis sedang giat mengesan mereka yang terlibat dalam kejadian pergaduhan berkenaan dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil menyalurkan maklumat kepada polis.

“Orang ramai juga digesa untuk menyalurkan maklumat jika berlaku sebarang pergaduhan kepada pihak polis dengan menghubungi bilik gerakan daerah atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” jelasnya. – UTUSAN

......