POLITIKRafizi kata Lebih baik PKR, PH jadi pembangkang bermaruah, daripada yakin menang...

Rafizi kata Lebih baik PKR, PH jadi pembangkang bermaruah, daripada yakin menang PRU15

Bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berpandangan adalah lebih realistik partinya dan Pakatan Harapan (PH) menyasarkan untuk menjadi pembangkang bermaruah berbanding berkeyakinan terlalu tinggi untuk menang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sambil menyifatkan pandangan itu tidak popular dalam kalangan pemimpin PH, Rafizi bagaimanapun menegaskan koalisi itu tidak boleh bersikap “in denial” pada saat rakyat sendiri tidak meyakini keupayaan mereka memenangi PRU15 yang semakin hampir.

PH kini berada di kedudukan ketiga di belakang Umno-Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada tiga pilihan raya negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor, satu strategi ampuh bagi menaikkan semula peratusan keluar mengundi serta peratusan sokongan pengundi atas pagar sebanyak tiga atau empat peratus kepada PH dan PKR amat diperlukan, kata Rafizi.

“Hakikatnya, ia bukan soal PH atau PKR menang. Saya sebenarnya agak realistik, kita agak sukar untuk menang PRU15. Tetapi kita kena pastikan supaya imbangan blok-blok politik tidak terlalu berat sebelah.

“Kita kena pastikan kalau Umno-BN mungkin menang PRU15, ada blok pembangkang yang boleh buat kerja dengan baik dan memastikan tidak ada skandal besar bakal diciptakan Umno-BN.

“Saya ingat dua, tiga bulan itu (sebelum PRU15), walaupun masanya pendek, tetapi kalau kita ada strategi betul, mungkin kita boleh capai anjakan tiga hingga empat peratus itu (meraih sokongan pengundi atas pagar),” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan menegaskan adalah lebih realistik untuk PH dan PKR membanci semula kekuatan jentera mereka, memperkuat dan memulihkan semangat berbanding bercita-cita tinggi untuk menang PRU15.

Katanya, cara paling baik adalah dengan bersikap realistik untuk PH dan PKR menjadi pembangkang yang baik dan bermaruah.

“Sebenarnya, kalau kita main bola sepak. Kita sedar kita berdepan pasukan yang sudah menang empat perlawanan berturut-turut selain menjaringkan gol banyak dalam setiap perlawanan dimenangi itu.

“Kita pun kena tahu pasukan kita dalam keadaan moral rendah, ada pemain sakit kaki, jadi lebih realistik untuk kita bawa persiapan pasukan ke satu tahap yang tidak terlalu luar biasa.

“Bila sasaran realistik sebegitu dibuat, rakyat pun boleh menerimanya setelah berfikir secara logik. Kalau mereka rasa pembangkang mustahil menang, tetapi kita terlalu yakin boleh menang, kekalahan empat PRN tidak menunjukkan sebarang isyarat yang kita boleh menang, itu mungkin akan menyebabkan orang rasa kita bermimpi di siang hari,” katanya.

Pandangan radikal

Rafizi juga mengakui pandangan radikal beliau pastinya kurang dipersetujui pemimpin PH mahupun PKR dan kalau ada bersetuju pun, mereka mungkin berpandangan sikap berterus-terang seperti itu tidak membantu kempen parti.

Namun, Rafizi mengajak semua pemimpin PH mengimbas semula pengalaman Umno-BN pada 2018 di mana kekalahan teruk mereka pada PRU14 adalah disebabkan bersikap “in denial”.

“Rakyat tidak suka ahli politik berpura-pura dan tidak dapat menerima keadaan semasa. Lebih kita bersikap realistik, berterus-terang akan lebih meyakinkan lebih ramai pengundi bahawa kita bukan semata-mata syok sendiri untuk menang kerajaan.

“Saya faham pandangan saya kemungkinan sangat minoriti dan tidak popular dalam kalangan penyokong parti dan PH. Tetapi bagi saya, gerak kerja politik ke arah PRU15 bukan libat anggota parti semata-mata.

“Yang kita perlu yakinlah adalah pengundi biasa kerana mandat mereka yang kita perlukan. Lebih baik kita jujur dan berterus-terang kepada mereka berbanding menawarkan tawaran yang dianggap tidak masuk akal bagi kelompok itu,” katanya.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/04/03/lebih-baik-pkr-ph-jadi-pembangkang-bermaruah-daripada-yakin-menang-pru15-kata-rafizi/

......