POLITIKPutra tak tanding PRN Johor sekiranya SOP masih sama seperti Melaka

Putra tak tanding PRN Johor sekiranya SOP masih sama seperti Melaka

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Ibrahim Ali berkata partinya tidak akan bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang sama digunakan ketika PRN Melaka.

Katanya, SOP yang digunakan ketika PRN Melaka menguntungkan calon-calon daripada parti pemerintah sahaja.

“BN menang di Melaka sebab apa? Sebab mereka ‘gunakan’ SOP’.

“Jadi, di Johor pun dia (kerajaan) akan gunakan SOP nak buat macam Melaka. Dia guna SOP macam Melaka tak perlu kita bertanding. Sebab kami tidak boleh kempen.

“Parti pemerintah ada akses kepada agensi kerajaan. Dia orang ada data pengundi. Jadi, dia boleh panggil pengundi, secara senyap-senyap hulur.

“Kita nak bertemu dengan pengundi tak boleh. Kumpulkan (ceramah) orang pun tak boleh,” katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, pada PRN Melaka, pembangkang mengecam SOP pilihan raya itu sebagai mengecewakan dan tidak berasaskan bukti perubatan.

Mereka turut mendakwa SOP yang dilaksanakan hanya menguntungkan parti pemerintah sahaja.

Sementara itu, Ibrahim turut mendakwa keputusan mengadakan PRN Johor oleh BN adalah untuk agenda politik.

“Pilihan raya buat apa di Johor? Dia (Hasni) kata majoriti cuma satu kerusi. Tapi, majoriti satu pun tak ada masalah. Pembangkang kata akan sokong.

“Tapi kenapa bubar, dia membazirkan wang rakyat dalam keadaan Covid-19, hanya kerana agenda politik,” katanya.

Pada PRN Melaka, Putra membuat penampilan sulungnya dengan mempertaruhkan lima calon masing-masing di kerusi Pengkalan Batu, Paya Rumput, Sungai Rambai, Duyong dan Gadek.

Namun, parti itu kalah semua kerusi ditandinginya.

PBM pertimbang letak calon

Sementara itu, Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengambil sikap kompromi dengan keputusan Menteri Besar Johor Hasni Mohammad meskipun merasakan ia bukanlah masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya, memandangkan negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19 dan terjejas dengan banjir baru-baru ini.

Menurut Ketua Penerangan PBM Zakaria Abdul Hamid, pendirian itu berdasarkan syarat SOP pilihan raya yang ketat perlu dikuatkuasakan seperti yang digunakan dalam PRN Negeri Melaka dan PRN Sarawak sebelum ini.

“PBM juga akan mempertimbangkan kesesuaian untuk turut meletakkan calon dalam PRN Johor.

“Majlis Tertinggi (MT) PBM akan membuat keputusan dalam masa terdekat termasuk pilihan bekerjasama dengan blok kerajaan sejajar dengan sokongan PBM terhadap kerajaan di peringkat pusat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, PBM bakal memberi ruang memperkenalkan dasar-dasar perjuangan parti melalui enam teras agenda ‘The Great Reset 2030’ iaitu parti dengan kepelbagaian kaum, memperkasa wanita, mengangkat kepimpinan anak muda, penjanaan ekonomi, transformasi pendidikan dan peningkatan penguasaan sains teknologi.

https://www.malaysiakini.com/news/608064

......