DUNIAPulak!! California diancam krisis bekalan air

Pulak!! California diancam krisis bekalan air

SACRAMENTO, CALIFORNIA – Penduduk California, Amerika Syarikat (AS) kini berdepan dengan krisis bekalan air selepas beberapa empangan negeri itu mencatatkan paras yang amat kritikal akibat musim kemarau berpanjangan, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Keadaan itu diburukkan lagi apabila penduduk dan perniagaan di negeri itu menggunakan air melebihi kadar yang kebiasaannya digunakan dalam tempoh tujuh tahun lalu meskipun Gabenor Gavin Newsom menggesa mereka untuk menjimatkan penggunaan air.

Newsom sebelum ini menyeru penduduk agar mengurangkan penggunaan air sebanyak 15 peratus. Namun, Mac lalu, penggunaan air di kawasan bandar telah meningkat 19 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu di mana musim kemarau bermula.

Ia merupakan kadar penggunaan air paling tinggi pada bulan Mac yang pernah dicatatkan sejak 2015, demikian menurut laporan Lembaga Kawalan Sumber Air Negeri awal minggu lalu.

Pengarah Komunikasi Pusat Air Komuniti, Kelsey Hinton berkata, masyarakat bandar yang sering menerima bekalan air dari empangan-empangan negeri nampaknya tidak memahami keseriusan masalah kemarau yang dihadapi negeri itu, berbeza dengan penduduk di kawasan luar bandar.

Ini kerana bagi penduduk luar bandar, air akan terus berhenti mengalir keluar dari paip di rumah mereka sebaik sahaja rizab air bawah tanah telah habis.

“Setiap hari, kami dapat merasai betapa serius keadaan ini dan sedar bahawa kita perlu melakukan sesuatu untuk mencari penyelesaian bagi kemarau berpanjangan ini.

“Bagaimanapun, apabila seseorang itu tinggal di Sacramento, mereka tidak dapat melihat keadaan mendesak yang sama kerana tidak bergantung kepada sumber air bawah tanah seperti yang dialami penduduk luar bandar,” katanya.

Tambah Hinton, pegawai kerajaan negeri turut memberi fokus kepada kaedah penyelesaian yang salah.

“Pemotongan air kediaman secara sukarela bukanlah penyelesaian, sebaliknya sekatan itu perlu diwajibkan kepada perniagaan dan industri yang paling banyak menggunakan bekalan air di California. – Agensi

California diancam krisis bekalan air

......