POLITIKPRU15 - Logo baharu PN elak pengundi salah pangkah

PRU15 – Logo baharu PN elak pengundi salah pangkah

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) dijangka memutuskan logo baharu gabungan parti itu yang akan digunakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Kamarudin Mohd Kasim @ Long Middin berkata, perbincangan mengenainya akan dibuat pada mesyuarat dalam masa terdekat.

Katanya, masalah yang dihadapi PN adalah kekeliruan pengundi terhadap logo parti yang seakan-akan logo kembar Barisan Nasional (BN) sebagaimana yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor sebelum ini.

“Saya tertarik dengan pemakluman terkini Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang berkata bahawa satu mesyuarat khas dalaman PN akan diadakan dalam waktu terdekat antara lain akan membincangkan agenda meluluskan penggunaan logo PN yang baharu.

“Saya percaya logo baharu nanti akan menyelesaikan isu berkaitan “salah faham” dan “salah pilih dan salah pangkah” dalam kalangan pengundi,” katanya menerusi kenyataan.

Kamarudin turut mengingatkan penyokong PN bahawa tentera siber BN sedang bersiap-sedia untuk mengutuk dan menghina logo PN yang bakal diumumkan nanti.

“Persetankan tindakan cytro UMNO, BN dan teruskan agenda yang telah dirancang. Biarkan mereka kutuk dan akhirnya milage promosi percuma akan dapat pada PN nanti,” ujarnya.

Beliau turut meminta supaya penyokong PN mempromosikan seluas mungkin logo parti yang baharu itu nanti supaya pengundi dapat mengenalinya.

Terdahulu sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor berkata, PN akan memperkenalkan logo baharu untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, ia susulan cadangan mengubah suai logo sedia ada yang dibuat pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN, sebelumitu.

Jelasnya, ia juga merupakan penambaikan dan pada logo itu nanti turut disertakan simbol.

Perkara itu akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan ketika ia sedang diteliti oleh Hamzah. – MalaysiaGazette

Logo baharu PN elak pengundi salah pangkah

......