POLITIKPRN Melaka: Jangan sombong, jangan rasa kuat bila makan 'dua kolam' kata...

PRN Melaka: Jangan sombong, jangan rasa kuat bila makan ‘dua kolam’ kata veteran UMNO

PAS perlu sedar kekuatannya sebelum mencadangkan penggunaan lambang “bulan” mewakili semua parti dalam kerajaan pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, kata Pengerusi Veteran Umno Othman Desa.

Berdasarkan sejarah, Othman berkata parti itu tidak pernah menawan pilihan raya umum dan hanya menjadi kerajaan selepas membentuk kerjasama politik dengan Bersatu dan Umno pada tahun lalu.

Malah katanya, dalam konteks di Melaka, PAS juga tidak mempunyai sebarang kerusi.

“PAS jangan rasa dia terlalu kuat, orang semua nak dia, kena pakai logo dia. Saya rasa itu bukan cadangan tetapi hanya lontaran idea yang tidak boleh diterima kerana tiada asas,” katanya kepada FMT.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan barisan parti pemerintah menggunakan lambang PAS pada PRN Melaka nanti, memandangkan dua parti yang berbalah, Umno dan Bersatu, masing-masing mahu bersama parti Islam itu.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air mencadangkan perkara itu pada satu mesyuarat khas pemimpin tiga parti kelmarin.

“Malam tadi (Jumaat) kita adakan mesyuarat dengan tiga parti, PAS-Umno-Bersatu. Nampaknya PAS dikehendaki oleh semua parti – Umno buat keputusan dia setuju bersama dengan PAS dan pada waktu sama Bersatu pun nak bersama kita.

“Lalu saya cadangkan guna saja lambang PAS,” katanya ketika merasmikan Muktamar Pemuda PAS Malaysia ke-62 di Port Dickson, Negeri Sembilan semalam.

Mengulas lanjut, Othman berkata, tawaran kerjasama Umno bersama PAS bukan hanya fokus kepada lambang semata-mata tetapi keikhlasan dan kejujuran “sahabat politik” yang mahu diterjemahkan dalam PRN Melaka.

Katanya, Umno secara ikhlas menawarkan kerjasama menerusi semangat yang terbina di bawah Muafakat Nasional, namun bebas menggunakan logo masing-masing dan ia berbeza jika PAS bekerjasama dengan Bersatu, yang mana PAS perlu akur menggunakan logo Perikatan Nasional.

“Bagaimana dengan keikhlasan PAS untuk terima tawaran Umno. PAS kena buat pendirian, bukan cerita mandi dua kolam sana nak sini nak, bukan macam tu.

“Kita bukan cakap pasal logo, kita bincang pasal sikap. Bila Umno tawar kerjasama dengan PAS dalam PRN Melaka, tajuk dia pasal kerjasama, bukan logo,” katanya.

Beliau turut mengakui pengundi di Melaka mahu melihat PAS berkongsi pentas bersama Umno dalam pilihan raya negeri itu.

“Veteran Umno amat gembira sekiranya PAS dapat bekerjasama dengan Umno dalam PRN Melaka, kerana ini adalah kehendak dan semangat MN (Muafakat Nasional) yang rata-rata pengundi nak.

“Jika PAS kerjasama dengan Barisan Nasional, Insyaallah kita akan bentuk satu kerajaan negeri yang mantap dan pengundi Melaka pasti akan gembira. Paling utama, semangat MN perlu diterjemahkan dalam PRN Melaka,” tegasnya.

PAS adalah parti komponen Perikatan Nasional bersama Bersatu, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

PRN Melaka: PAS jangan rasa kuat ‘mandi 2 kolam’, kata veteran Umno

......