POLITIKPRN Johor : Penganalisis kata cerita ‘kluster mahkamah’ mungkin dah tak laku

PRN Johor : Penganalisis kata cerita ‘kluster mahkamah’ mungkin dah tak laku

PETALING JAYA: Pakar meragui cerita “kluster mahkamah” oleh pesaing Umno akan dapat memujuk pengundi supaya menjauhi parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) Johor kerana percaya cerita itu mungkin “tidak laku” lagi.

Noor Nirwandy Mat Noordin, seorang penganalisis di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara berkata, cerita “kluster mahkamah” tidak menguntungkan pesaing Umno pada PRN Melaka.

Sebaliknya, Barisan Nasional (BN) menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

“Ia terbukti gagal,” katanya kepada FMT.

Nirwandy percaya Umno berpotensi menang pada PRN Johor dengan corak pengundian yang rendah, ditambah sokongan akar umbi parti itu.

Beliau meramalkan Umno akan dapat mengekalkan momentum dari Melaka ke Johor.

“Buat masa ini politik ditentukan oleh parti yang dominan, sama ada dengan kerusi yang banyak atau jumlah ahli yang ramai di kawasan atau negeri tertentu.

“Apabila politik didominasi oleh gergasi seperti Umno, sudah tentu kelebihan kepada Umno,” katanya.

Nirwandy menambah bahawa pengundi yang pasif, khususnya mereka yang bukan ahli parti, memberi kelebihan kepada Umno.

Kepasifan itu disebabkan masyarakat hilang minat terhadap politik dan hanya mengharapkan pemulihan daripada pandemik Covid-19, katanya.

Beliau menambah bahawa pengundi akan membandingkan pentadbiran Umno dengan Bersatu di Johor dan ia akan menjadi input baharu kepada pengundi.

PRN Johor: Cerita ‘kluster mahkamah’ mungkin tak laku, kata penganalisis

......