Gambar arkib

KUKUP – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub mendedahkan bahawa beliau telah diperli oleh Datuk Seri Najib Razak ketika mereka bersalaman kelmarin kononnya banyak wang ditabur kerajaan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, kerajaan menabur wang supaya masuk ke poket rakyat dalam bentuk pembangunan serta kebajikan sara hidup.

Katanya lagi,  bukan seperi bekas perdana menteri itu yang beliau dakwa menabur wang dalam poket sendiri dan sibuk dengan urusan kes perbicaraan mahkamah sehingga gagal berkhidmat untuk pengundi di Parlimen Pekan.

“Adalah orang sibuk akan masuk penjara, sedang sibuk dalam mahkamah. Semasa penamaan calon pada Sabtu apabila saya salam beliau di khemah, ramai pemimpinnya sindir saya banyak tabur.

“Ingat, kita tabur pada rakyat, masuk poket rakyat bukannya masuk poket sendiri.

“Dalam perbicaraan mahkamah tuan saksikan hampir setiap hari dalam akhbar bagaimana Najib berkomunikasi dengan Jho Low dan bagaimana pegawai-pegawainya diarah melakukan penyelewengan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah kelompok PDM Penerok sempena kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai malam tadi.

Menurut Salahuddin, RM400,000 diperuntukkan untuk membaiki jalan-jalan ke kebun bago memudahkan urusan petani manakala RM3 juta pula untuk membaiki segera tiga jeti usang.

“Dulu Wee Jack Seng semasa menjadi wakil rakyat BN apa dia buat untuk jeti usang di kawasan nelayan termasuk nelayan Melayu. Dia tak buat apa apa, kita sebenarnya yang buat semuanya.

“Apa yang kita buat adalah untuk rakyat, ini bukan janji pilihan raya tetapi tanggungjawab kerajaan kepada rakyat, bukan hanya tunggu PRK dan tabur janji, tapi kita tunaikan janji,” ujarnya lagi.

Salahuddin mengakui tidak mudah untuk menang di kawasan tersebut yang telah menjadi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional, bagaimanapun selepas berjaya menang dalam pilihan raya umum yang lalu, kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab di Penerok.

“Saya besar dan sekolah di sini tapi lepas menang kita tak pernah abaikan tanggungjawab di kawasan Penerok,” jelas beliau. – MalaysiaGazette