POLITIKPrestasi buruk PKR di Melaka, hanya tumpu kerusi boleh menang sahaja di...

Prestasi buruk PKR di Melaka, hanya tumpu kerusi boleh menang sahaja di PRN Sarawak

Prestasi buruk PKR pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka menjadi pengajaran yang mempengaruhi keputusan bahagian di Sarawak untuk mengurangkan bilangan kerusi ditandingi pada pilihan raya negeri itu, menurut seorang pemimpin negeri parti.

Setiausaha PKR Sarawak Joshua Jabeng berkata, beliau percaya PKR, jika ia menumpukan kepada kurang kerusi di Melaka boleh memenangi satu atau dua daripadanya, berbanding kalah dalam semua 11 kerusi yang ditandinginya.

Katanya, sebelum ini parti itu bertanding di semua kerusi pada PRN Sarawak, tetapi kini telah mengubah formulanya.

“Pada masa lalu, kami bertanding di semua kerusi atas alasan mudah, iaitu kami tidak mahu Gabungan Parti Sarawak (GPS) – atau Barisan Nasional (BN) ketika itu – menang tanpa bertanding. Bagaimanapun, dengan berbuat demikian, kami mengagihkan sumber dan perhatian kami terlalu luas tanpa fokus kepada kebolehmenangan.

“Kami telah belajar daripada kesilapan. Dengan mengurangkan bilangan kerusi yang ditandingi, kami boleh lebih fokus kepada kerusi yang boleh kami menangi,” katanya kepada FMT.

Beliau meramalkan PKR boleh memenangi sehingga 10 daripada 28 kerusi yang ditandingi kali ini.

Pada 2016, daripada 47 kerusi yang ditandinginya, PKR hanya menang tiga menerusi Baru Bian, See Chee How dan Ali Biju, yang semuanya meninggalkan parti selepas kejatuhan kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH).

Jabeng berkata, beliau percaya PKR Sarawak kini lebih kuat kerana “tiada lagi pengkhianat”.

Beliau mengakui bahawa PKR mungkin tidak dilihat sebagai pilihan oleh pemerhati politik, tetapi katanya, penting untuk parti itu meneruskan perjuangannya untuk pembaharuan dan keadilan.

Sudah jauh perjalanan parti itu sejak penubuhannya pada akhir 1990-an kata Jabeng, dan ia sering diremehkan pada masa lalu.

Bagaimanapun, internet menjadikan pengundi lebih peka tentang masalah yang melanda negeri dan negara.

“Tiada siapa percayakan (Presiden PKR) Anwar Ibrahim pada mulanya. Selepas pilihan raya umum 2004, kita hanya ada seorang Ahli Parlimen, Dr Wan Azizah Ismail. Tetapi orang ramai akhirnya sedar.

“Pakatan Harapan, yang diterajui PKR, telah membentuk kerajaan persekutuan pada Mei 2018. Jika itu boleh berlaku pada masa itu, ia boleh berlaku sekarang,” katanya.

Jabeng berkata, walaupun kritikan dilemparkan terhadap Anwar berikutan prestasi PKR di Melaka, Pengerusi PH itu masih individu “terbaik dan paling relevan” untuk memimpin parti.

“PKR bukan milik seorang individu. Parti itu akan diteruskan walaupun selepas Anwar pergi. Parti ini adalah parti semua orang, tetapi Anwar adalah pengasasnya dan ketuanya sekarang. Kami tiada masalah mengenainya.

“Saya percaya beliau masih seorang pejuang yang berwibawa dan tidak jemu. Walau apa yang dilaluinya, beliau tetap bertahan. Beliau tidak pernah mengkhianati parti. Prinsip dan hala tujunya tetap jelas. Jadi tiada masalah beliau kekal di pucuk pimpinan.”

Prestasi buruk di Melaka, PKR fokus kerusi boleh menang di Sarawak

......