Foto - Bernama

KOTA BHARU: Penjaja makanan dan minuman di persimpangan lampu isyarat di Kelantan, diminta menghentikan kegiatan tersebut, kerana perbuatan itu salah dari segi undang-udang dan boleh dikenakan tindakan saman.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Abdullah Muhammad Piah berkata, mereka yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Kaedah 10A LN 166/59, yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 jika sabit kesalahan.

“Tindakan penjaja seperti itu sebenarnya mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya, selain terhadap diri mereka sendiri.

“Mereka yang menjaja dan juga pembeli menggunakan cara itu boleh dikenakan tindakan undang-undang, mengikut peruntukan sedia ada termasuk disaman,” katanya selepas Latihan Gemparan Am Kebakaran Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Abdullah berkata, pihaknya akan melakukan operasi secara berkala, tetapi berterusan supaya penjaja akan mematuhi arahan diberikan dan undang-undang.

Difahamkan, pada Julai tahun lalu 6 penjaja berusia antara 19 dan 20 tahun ditahan di Jalan Kuala Krai dan Jalan Pengkalan Chepa dekat sini dan dikenakan saman.

Tindakan tegas pihak polis itu kemudiannya dilihat berjaya menghentikan buat sementara perbuatan menjaja seperti itu, namun kini muncul kembali dan dilihat semakin berleluasa dengan pelbagai jenis jualan makanan ringan seperti burger, bebola daging, jeruk buah-buahan, satu dan pelbagai jenis minuman. FMT