POLITIKPN Melaka kata parti Warisan sudah lumpuh, tiada prinsip

PN Melaka kata parti Warisan sudah lumpuh, tiada prinsip

JASIN – Kesediaan Parti Warisan (Warisan) untuk menyokong mana-mana parti yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) membuktikan ia adalah sebuah parti yang hanya mementingkan ‘nyawa’, tidak berprinsip dan lumpuh.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, ia jelas menunjukkan parti yang diterajui Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu sanggup menjual maruahnya kepada sesiapa sahaja asalkan mereka diberi ruang memegang jawatan.

“Jika Shafie ada prinsip, sepatutnya prinsip itulah yang diperjuangkan tanpa mengira siapa yang menang, bukan melupakan prinsip hanya kerana mahu diterima oleh pemenang.

“Kenyataan Shafie juga membuktikan beliau sudah tahu Warisan tidak akan menang dengan signifikan dalam pilihanraya sebab itu beliau tiada pilihan melainkan mengikut saja mana-mana parti lain yang boleh beri Warisan jawatan,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Masyarakat N24 Bemban, Taman Jasin Bestari, di sini hari ini.

Sabtu lalu, Mohd Shafie yang merupakan Presiden Warisan mengumumkan parti itu sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan politik yang PRU-15 bagi memastikan kestabilan politik dan menjaga kepentingan rakyat negara ini.

Ahli Parlimen Semporna itu dilaporkan berkata, persefahaman yang dibentuk itu bagaimanapun mestilah sebuah kerjasama pintar serta tidak berat sebelah dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya.

Mohd Shafie menjawab soalan seorang peserta sesi perkongsian bertajuk Gabungan dan Pakatan: Demi Rakyat atau Demi Poket yang disiarkan secara langsung dalam talian di laman Facebook.

Peserta berkenaan bertanya adakah Warisan mahu bekerjasama dengan Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan sekiranya gabungan politik itu memenangi PRU-15.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Yadzil yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Warisan sebenarnya tidak mempunyai tempat di hati pengundi Semenanjung khususnya di Melaka.

“Peluang untuk Warisan mendapat kerusi pada PRU-15 sebenarnya amat tipis, kerana rakyat Malaysia sedar hakikat sebenar Warisan adalah sebuah parti yang semakin lumpuh, dipimpin oleh mereka yang sanggup menjual parti,” katanya. – MalaysiaGazette.

Parti Warisan lumpuh, tiada prinsip – PN Melaka

......