NASIONALPKP, ketidakstabilan politik punca FDI jatuh, kata ahli ekonomi

PKP, ketidakstabilan politik punca FDI jatuh, kata ahli ekonomi

PETALING JAYA: Ahli ekonomi bersetuju bahawa ketidakstabilan politik dan kesan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah antara faktor utama yang menyumbang kepada kejatuhan ketara aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) tahun lalu.

Malaysia mencatatkan kejatuhan FDI 68% kepada USD2.5 bilion pada tahun lalu, menurut sebuah laporan terbaru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Beberapa faktor lebih memberi kesan ke atas Malaysia berbanding negara lain di rantau ini. PKP dilaksanakan untuk tempoh lebih lama, dan terdapat sekatan yang lebih ketat berbanding (negara lain) di rantau ini,” kata Vishrut Rana, seorang ahli ekonomi di S&P Global Ratings.

“Kami melihat kejatuhan FDI di Malaysia pada tahun 2020 sebagai besar, tetapi bersifat sementara dan kitaran.”

Menyifatkan ketidakpastian politik tidak memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pelaburan, Rana berkata, faktor utama – keterlihatan dan kesinambungan dasar – tetap baik di negara ini.

Diana del Rosario, ahli ekonomi Pejabat Penyelidikan Makroekonomi Asean +3 bagi Malaysia, juga berkata, kejatuhan FDI Malaysia harus diambil dalam konteks PKP yang dikenakan pada sebahagian besar suku kedua 2020.

Katanya, walaupun aktiviti perniagaan dikekang hebat oleh sekatan di seluruh negara dan impak sekatan perjalanan antarabangsa, FDI kekal pada tahap 1.1% daripada KDNK pada tiga suku pertama 2020.

“Ia turun daripada 2.5% bagi tempoh sama pada 2019, tetapi boleh dianggap sebagai hasil yang baik memandangkan ketidakpastian yang menebal yang mengaburkan unjuran pelabur global,” katanya.

Diana del Rosario.

Lebih penting, katanya, adalah kekuatan dalam kelulusan pelaburan asing selama hampir tiga tahun sejak 2018.

Del Rosario berkata, kelulusan FDI berpurata 5.0% daripada KDNK dari 2018 hingga suku ketiga 2020, meningkat daripada 3.9% pada 2015-17, peningkatan yang didorong oleh komitmen dalam sektor pembuatan.

Steven Cochrane, ketua ekonomi Asia Pasifik di Moody’s Analytics, berkata, selain perubahan dalam kepemimpinan pada Feb lalu dan pada waktu sama kemunculan wabak Covid-19, dasar pengkuhan fiskal Malaysia dalam mengurus hutang kerajaannya sebelum wabak bermula mungkin menyebabkan pelabur berundur.

Steven Cochrane.

“Sebagai contoh, projek infrastruktur utama seperti Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura ditangguhkan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan baru-baru ini, dibatalkan sama sekali,” katanya ketika diminta menganalisis kejatuhan FDI.

“Ini juga menandakan bahawa perubahan dalam kepemimpinan boleh menyebabkan kontrak menjadi tidak sah sekiranya ia ditandatangani semasa pentadbiran sebelumnya,” tambahnya.

Fitch Ratings juga mengingatkan tentang ketidakstabilan politik Malaysia minggu ini, dengan berkata, ia melemahkan prospek penambahbaikan dalam pentadbiran dan mungkin akan memberi kesan buruk terhadap pertumbuhan pelaburan swasta.

Pulih kembali

Berhubung masa depan, del Rosario berkata, Malaysia harus berusaha meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan dan menggiatkan pelaburan dalam infrastruktur pengangkutan dan perkhidmatan jalur lebar.

Selain memberikan insentif dalam aktiviti pembuatan dan perkhidmatan bernilai tinggi, beliau berkata, jaminan kredit harus diperluas kepada syarikat milik asing dengan tenaga kerja yang kebanyakannya dari Malaysia.

Beliau juga menggesa geran untuk menaik taraf kemahiran pekerja dan mempercepat digitalisasi bagi semua industri dan perusahaan kecil dan sederhana diberikan.

Katanya, inisiatif itu tepat pada masanya kerana beberapa sektor ekonomi mahu mempelbagaikan rantaian bekalan mereka dan meningkatkan daya tahan.

Sementara itu, Cochrane menganjurkan lebih banyak pendidikan teknikal dijuruskan kepada pendigitalan – terutamanya kerana Malaysia tidak dapat bersaing dari segi gaji seperti negara seperti Vietnam dan Thailand.

Beliau berkata, Malaysia telah berusaha menarik lebih banyak pelabur China menerusi program “China Special Channel (CSC)” yang dilancarkan pada Jan 2020, namun syarikat China lebih cenderung memilih Hong Kong atau Singapura kerana infrastrukturnya yang lebih mantap.

“Malaysia mungkin ingin memperluaskan minatnya ke negara Asia atau Asia Tenggara lain, bukan hanya memfokus kepada pelaburan China,” katanya, selain menambah bahawa Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang ditandatangani pada Nov akan membantu melancarkan perdagangan dan pelaburan di seluruh rantau Asean.

Laporan PBB mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) yang diterbitkan pada hari Ahad menyebut bahawa FDI di Asia Tenggara jatuh 31% kepada USD107 bilion pada 2020, sementara FDI global jatuh 42% kepada USD859 bilion.

Di antara negara Asia Tenggara yang lain, FDI Thailand jatuh 50% kepada USD1.5 bilion, FDI Singapura 37% kepada USD58 bilion, Indonesia 24% kepada USD18 bilion dan Vietnam 10% kepada USD14 bilion.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/31/pkp-ketidakstabilan-politik-punca-fdi-jatuh-kata-ahli-ekonomi/

......