Utama POLITIK PH sentiasa lebih kuat, kekalkan momentum, kemenangan pasti milik gabungan kita kata...

PH sentiasa lebih kuat, kekalkan momentum, kemenangan pasti milik gabungan kita kata Menteri

224

SEREMBAN 22 Sept. – Semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) perlu bersatu dan mengekalkan formula yang digunakan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk memastikan kemenangan parti itu pada PRU-15, kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata selain itu, ia juga bertujuan bagi berdepan dengan tekanan yang diberikan daripada penyatuan UMNO-Pas.

“Kita mesti yakin dan kita mesti percaya bahawa formula kemenangan kita pada PRU-14 mesti dikekalkan. Apa formulanya? Formulanya ialah semua parti komponen dalam PH menyatupadukan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama untuk satu hasrat iaitu menyelamatkan Malaysia.

“Kita nak berikan keyakinan kita kepada rakan komponen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Bersatu dan Amanah bahawa DAP akan tetap sebagai rakan yang setia kepada PH dan kita tak akan sesekali melupakan perjuangan kita dan asas persefahaman kita dalam PH. Kita harap ini dapat kita perkukuhkan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan kali ke-20 di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Pengerusi PH negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan barisan kepimpinan komponen PH negeri.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan turut menyeru semua komponen PH supaya memainkan peranan masing-masing untuk memastikan perjuangan parti tidak melencong.

“Jadi jangan bimbang atau gusar, kalau kita terus kekalkan perpaduan dan pastikan rakyat terus diberi perhatian, pastinya PRU15 kita akan menang,” katanya. – BERNAMA