POLITIKPH mungkin perlu fikir semula MoU jika PM tak tunai janji kata...

PH mungkin perlu fikir semula MoU jika PM tak tunai janji kata Kit Siang

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu memutuskan sama ada akan meneruskan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sekiranya beliau tidak menunaikan janjinya.

Lim berkata, salah satu objektif MoU itu adalah untuk menghentikan “lompat katak politik” yang “merosakkan nilai perjuangan politik kepada nilai yang ditawarkan oleh pembida tertinggi”.

“Sekiranya Ismail gagal mematuhi perjanjiannya dalam MoU CSR, Pakatan Harapan perlu memutuskan sama ada untuk meneruskan MoU CSR itu,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam kenyataan hari ini.

“Salah satu syarat MoU adalah untuk menggubal undang-undang untuk mengharamkan ‘katak politik’ di negara ini menjelang Mesyuarat Pertama Sesi Kelima Parlimen pada awal 2022.”

Katanya, sekiranya undang-undang sebegitu tidak diluluskan, Ismail mengingkari komitmennya di bawah MoU CSR dan kedudukannya akan berakhir.

Lim merujuk kepada peletakan jawatan Peter Anthony daripada Warisan semalam untuk membentuk sebuah parti yang mesra kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, sejak menandatangani MoU, terdapat “perbezaan kritikal” yang muncul antara PH dan kerajaan.

Ini termasuk kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, perang menentang rasuah dan salah guna kuasa, menghormati hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.

Beliau turut menyenaraikan “minggu memalukan terakhir untuk Malaysia 2021”, termasuk tindakan Ismail yang tidak menghadiri atau menghantar wakil ke majlis minum petang Krismas oleh Persekutuan Kristian Malaysia yang dihadiri oleh Perdana Menteri atau wakilnya setiap tahun sejak 1999.

Katanya, menteri juga turut dilihat melancarkan “operasi kawalan kerosakan” kerana “kesilapan mengurus banjir besar”, terutamanya di Selangor dan Pahang, dengan ia hanyalah “aksi publisiti semata-mata tanpa memberi manfaat kepada mangsa banjir”.

Beliau memetik nama Rina Harun, yang dirakam menggunakan alat penyembur air untuk membersihkan lantai bersih ketika dikelilingi jurugambar.

“Bila masa para pembayar cukai menggajikan Perdana Menteri dan menteri Kabinetnya untuk menjadi pelawak?” soalnya.

Lim turut menyebut mengenai kehadiran bekas Perdana Menteri Najib Razak yang menyampaikan ucaptama di Forum Ekonomi China Dunia 2021 (WCEF) dan peletakan jawatan ahli ekonomi Edmund Terence Gomez daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan-laporan yang membabitkan pegawai tinggi SPRM.

PH mungkin perlu fikir semula MoU jika PM tak tunai janji, kata Kit Siang

......