PH hari ini mencadangkan tiga strategi kepada kerajaan untuk mempercepat proses vaksinasi Covid-19 di Malaysia.

Ia di saat kes baru wabak itu kian meningkat, pada masa sama kadar pemberian vaksin dilihat tidak mencapai jangkaan awam.

Menurut Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 PH, strategi pertama adalah untuk Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mempercepat proses penilaian dan pelulusan vaksin, terutama yang telah diluluskan Pertubuhan Kesihatan Dunia dan pihak berkuasa kesihatan di luar negara.

Pada masa ini, hanya tiga vaksin yang diluluskan di Malaysia, iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

“Proses birokrasi yang keterlaluan dan tidak efisien perlulah diatasi dan pada masa yang sama menjaga kebebasan proses kajian untuk memastikan kelulusan yang cepat dan tepat sambil menjaga keselamatan dan keberkesanan vaksin tersebut,” kata jawatankuasa itu dalam kenyataan hari ini.

Antara vaksin yang masih dalam penilaian NPRA adalah Sputnik V dari Russia dan Cansino dari China.

Jawatankuasa itu berkata, proses penilaian NPRA boleh dipercepat dengan bantuan agensi seumpamanya yang cekap dari negara lain.

Menteri Penyelaras Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaludin berkata, NPRA masih membuat penilaian terhadap Sputnik V memandangkan mereka tidak berpuas hati sepenuhnya dengan data yang diberikan Duopharma – pemegang pendaftaran produk itu di Malaysia.

Kadar keberkesanan dan keselamatan vaksin itu juga masih dalam penilaian Kesatuan Eropah, manakala Brazil menangguhkan kelulusannya.

Cadangan kedua adalah agar kerajaan meluaskan memperluas pemilihan vaksin, antaranya yang dikeluarkan Moderna dan Johnson & Johnson.

Mereka turut menggesa agar kerajaan mula berunding dengan syarikat vaksin yang sudah di tahap ujian terakhir, seperi Sinopharm dan Novavax.

“Kerajaan tidak harus berhenti mendapat bekalan vaksin lain melihat pilihan-pilihan vaksin yang dipunyai semasa, kerana syarikat farmasi telah menetapkan keutamaan mereka kepada negara-negara kaya.

“Malaysia mampu membeli vaksin pada atau atas harga pasaran untuk menjamin penghantaran vaksin awal seperti taktik yang digunakan oleh UAE dan Israel tahun lepas,” katanya.

Sebelum ini, Khairy menjelaskan kerajaan sedang dalam perbincangan dengan Johnson & Johnson dan Novavax.

Bagaimanapun, dia berkata kerajaan tidak akan membeli vaksin Moderna kerana harganya terlalu mahal.

Sinopharm pula telah diluluskan Kementerian Kesihatan pada awal bulan ini bagi kegunaan kecemasan.

Strategi ketiga yang dicadangkan PH adalah dengan membenarkan kerajaan negeri dan kemudahan perubatan swasta mendapatkan vaksin dan memberikannya kepada pelanggan yang sanggup membayarnya.

“Langkah ini akan menarik kekuatan pasaran untuk mengisi jurang-jurang yang sedia ada dalam industri kesihatan negara

“Kerajaan kemudiannya akan dapat menggunakan sumber yang terhad untuk menumpukan usaha untuk memberi vaksin penduduk yang lain,” katanya.

Semalam, Khairy berkata NPRA sedang menimbang untuk meluluskan lebih banyak vaksin yang bukan untuk digunakan dalam program vaksinasi kerajaan, tetapi oleh sektor swasta.

Vaksin tersebut termasuklah Moderna, katanya lagi.

https://www.malaysiakini.com/news/575382